Home Nasional Pekerja terdedah dengan penentuan gaji tidak telus – IKIM

Pekerja terdedah dengan penentuan gaji tidak telus – IKIM

KUALA LUMPUR – Para pekerja terdedah dengan penentuan gaji yang tidak telus, kata Timbalan Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Zakaria Hashim.

Zakaria berkata, antara isu yang sering timbul ialah penentuan gaji minimum dan gaji yang mengikut kelayakan serta kemahiran.

“Secara umumnya gaji dan upah ditentukan oleh pasaran. Walaubagaimanapun pasaran buruh terdedah dengan pelbagai unsur dan spekulasi yang menyumbang kepada penentuan gaji dan upah yang tidak telus.

“Selain itu juga, antara isu yang sering timbul berkaitan gaji ialah tentang penentuan gaji minimum, pemberian gaji setara dengan kelayakan dan pemberian gaji mengikut gaji kehidupan wajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan aluan pada Persidangan Gaji Kehidupan Wajar dan Realiti Miskin Bandar.

Justeru persidangan hari ini, menurut beliau, diadakan demi memperincikan gaji kehidupan wajar yang memberi kesan pada elemen tertentu daripada aspek Islam, termasuk pembangunan anak, ibadah dan interaksi yang bermanfaat dalam masyarakat.

“Selain itu juga perbincangan dalam konteks gaji kehidupan wajar ini sebenarnya menunjukkan kita kepada satu realiti yang pahit untuk diterima tetapi berlaku di sekeliling kita yakni miskin bandar.

“Individu ini mereka yang hidup dalam keadaan tertekan dan serba kekurangan di kawasan bandar.

“Sebahagiannya ada menerima gaji melebihi gaji minimum namun kos sara hidup yang tinggi menyebabkan mereka hidup dalam kemiskinan walaupun tinggal dalam kawasan pembangunan yang pesat,” tambah beliau. – MalaysiaGazette