Lion Air
Sayap pesawat Lion Air rosak akibat terlanggar tiang lampu.

KUALA LUMPUR: Insiden pesawat Lion Air JT633 yang sayapnya melanggar tiang lampu koordinat di Bandara Fatmawati, Bengkulu, Indonesia petang Rabu berpunca daripada kekeliruan panduan.

Menurut laporan Kompas.com, jurucakap Komunikasi Korporat Strategik Lion Air, Danang Mandala Prihantoro berkata pesawat itu dipandu berdasarkan panduan dan petunjuk daripada petugas Aircraft Movement Control (AMC).

Beliau dalam satu kenyataan kepada portal itu berkata, petugas AMC tersebut adalah kakitangan pengelola bandar udara, dan siasatan sedang dijalankan.

Dalam kejadian pada 6.20 petang (waktu tempatan) Rabu, pesawat Boeing 737-900ER yang menuju ke Jakarta dibatalkan penerbangan selepas sayapnya melanggar tiang lampu di landasan.

Para pemumpang kemudiannya dipindahkan dengan pesawat Lion Air yang lain dan berlepas pada pukul 10.48 malam dari Bengkulu.

Pesawat itu selamat mendarat di Soekarno-Hatta, Tangerang pada 11.50 malam. – Bernama