Adel Abdul Mahdi
Adel Abdul Mahdi

BAGHDAD – Perdana Menteri Iraq memilih lima ahli Kabinet menerusi beribu-ribu permohonan dalam talian.

Pada bulan lalu beliau mengambil langkah yang tidak diduga itu dengan mempelawa orang ramai memohon jawatan tersebut secara dalam talian.

Pemohon diminta untuk menyertakan resume selain menyediakan bukti bahawa mereka memenuhi kriteria yang ditetapkan. Nama dan jawatan mereka yang terpilih akan diumumkan, lapor BBC.

Pada Oktober lalu, Adel Abdul Mahdi diminta membentuk kerajaan bagi menamatkan kebuntuan berikutan ketidaktentuan keputusan pilihan raya.

Mahdi berkata, lebih daripada 15,000 permohonan diterima untuk mengisi 14 jawatan Kabinet selepas beliau mengumumkan peluang pekerjaan itu pada laman Facebooknya.

Pemohon perlu menyatakan kementerian mana yang mereka mahu terajui dan sama ada mereka ahli sesebuah parti politik.

Pemohon juga diminta menjelaskan projek yang mereka mahu laksanakan, menggariskan pandangan mengenai pemimpin yang berjaya dan bagaimana mereka menangani masalah yang dihadapi kementerian masing-masing.

Iraq berhadapan dengan masalah domestik, termasuk kadar pengangguran yang tinggi, rasuah dan pembinaan semula selepas kemusnahan yang ditinggalkan kumpulan Islamic State dan peperangan yang panjang bagi menewaskannya. – Agensi