Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sambil diiringi Pengerusi Forum Ekonomi China Sedunia (WCEF), Tan Sri Dr. Michael Yeoh (empat kanan) dan deligrasi forum yang lain bergambar kenangan sambil memegang kaligrafi seni China pada Forum Ekonomi China Sedunia (WCEF) di Palace Of The Golden Horses, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 09 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyambut baik hasrat Tan Sri Rafidah Aziz untuk menyertai parti itu.

Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, ini kerana bekas Ketua Pergerakan Wanita UMNO tersebut telah lama membantu PH sehingga parti itu berjaya membentuk kerajaan pada hari ini.

“Kami mengalu-alukannya, dia (Rafidah) telah bekerja dengan kami untuk masa yang lama,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan ucaptama dan perasmian Forum Ekonomi China di sini petang tadi.

Bagaimanapun, Mahathir yang juga Pengerusi PPBM berkata, ketika ini beliau tidak mengetahui sama ada Rafidah ada ditawarkan jawatan dalam parti atau sebagainya.

Sebaliknya Pengerusi PPBM itu menjelaskan, apa yang pasti Rafidah kini sah sebagai ahli PPBM.

Semalam, Rafidah mengesahkan beliau akan menyertai PPBM dan hasratnya itu sudah diluahkan kepada Dr Mahathir.

Rafidah sebelum ini secara terbuka menyatakan sokongan kepada PH dan menghentam UMNO.

Tindakan itu menyebabkan dirinya digugurkan keahlian UMNO bersama dua bekas menteri iaitu Tun Daim Zainuddin dan Tan Sri Dr Rais Yatim, Mei lalu.

Beliau bagaimanapun enggan tindakannya yang mahu menyertai PPBM dikaitkan dengan mana-mana pemimpin termasuk Ahli Parlimen Jeli, Datuk Seri Mustapa Mohamed yang menyertai parti itu baru-baru ini. – MalaysiaGazette

Rafidah bakal sertai PPBM