Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika menerima lawatan dari Perdana Menteri Singapura, Lee Hsein Loong (kiri) di Yayasan Kepimpian Perdana, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 19 MEI 2018 - foto hiasan

SINGAPURA – Tun Dr Mahathir Mohamad selamat tiba di Singapura untuk lawatan rasmi dua hari sebelum menyertai sembilan lagi ketua kerajaan untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-33.

Lawatan beliau ke republik itu adalah atas undangan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong yang mana kedua-duanya akan duduk bersama dalam mesyuarat dua hala buat pertama kalinya, di The Istana.

Pesawat yang membawa Perdana Menteri dan isterinya Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali mendarat di Kompleks VIP Lapangan Terbang Changi di sini pada pukul 8.40 pagi.

Lawatan itu adalah sebahagian daripada lawatan pengenalan peringkat tinggi Dr Mahathir ke negara-negara ASEAN selepas mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7 pada Mei lepas.

Ketibaan beliau disambut Menteri Pembangunan Negara Singapura Lawrence Wong, Pesuruhjaya Tinggi Singapura ke Malaysia Vanu Gopala Menon dan Menteri Luar Malaysia Datuk Saifuddin Abdullah.

Dr Mahathir akan menghadiri majlis sambutan yang diadakan di Ceremonial Plaza, The Istana sebelum mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Singapura Halimah Yacob.

Lee dan isteri Ho Ching kemudian akan menghoskan majlis makan tengah hari bagi meraikan Dr Mahathir dan isteri, selepas Majlis Penamaan Bunga Orkid.

Program lawatan hari pertama tidak terhenti di The Istana buat Perdana Menteri berusia 93 tahun itu kerana beliau akan memperuntukkan masa kira-kira satu jam setengah bertemu diaspora Malaysia di Singapura di Hotel Shangri La.

Beliau seterusnya akan ditemu bual oleh CNBC International sebelum menghadiri majlis makan malam ASEAN Business Awards 2018 di The Ritz Carlton.

Selain Saifuddin, turut mengiringi Perdana Menteri ialah Menteri Hal Ehwal Ekonomi Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Darell Leiking serta pegawai kanan daripada Pejabat Perdana Menteri dan Wisma Putra.

— BERNAMA