Datuk Seri Anwar Ibrahim
Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim. foto HAZROL ZAINAL, 15 OKTOBER 2018.

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan beliau enggan mencampuri dan mengganggu tugas Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) dalam menyelesaikan pelbagai masalah termasuk dakwaan penipuan dalam pemilihan parti itu.

Anwar berkata, semua pihak perlu merujuk kepada JPP jika wujudnya sebarang pelanggaran peraturan sepanjang proses pemilihan PKR itu.

“Saya serahkan kepada JPP, media minta saya komen, tak boleh, keputusan Majlis Pimpinan Pusat (MPP) dan keputusan Biro Politik menyerahkan kepada JPP, kalau kita tak setuju atau bantah, kita rujuk kepada JPP

“Ada yang minta pemilihan ini bersih, (saya minta) jangan ada pertelagahan, sebarang keputusan kita terima dengan baik dan kita kena bersatu semula dan teruskan kerja,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen, hari ini.

Anwar juga mahu JPP segera menjelaskan berhubung gangguan terhadap tablet yang digunakan dalam pemilihan PKR kali ini.

“Mereka (JPP) kena jelaskan. Biasanya mereka akan maklumkan kepada kita (Biro Politik) dan kita tidak ganggu kerana ahli Biro Politik adalah pihak berkepentingan.

“Apa yang kita boleh buat ialah peraturan dan prinsipal perlu diikuti. Biasanya kita tidak mencampuri keputusan JPP dan juga sesetengah keputusan.

“Malah saya sendiri buat laporan kerana cara mengendalikan pemilihan menerima banyak aduan dan akhirnya kita sendiri terpaksa bercakap,” katanya lagi. – MalaysiaGazette