Zamani tidak dapat mencari nada lagu Dekat Padamuketika memulakan persembahan pertamanya pada Konsert Gegar Vaganza malam tadi. Foto Ihsan Astro.

KUALA LUMPUR – Juri Tetap Gegar Vaganza musim kelima (GV5), Datuk Ramli MS memiliki alasan kenapa beliau tidak memberi komen persembahan pertama Zamani pada peringkat separuh akhir program itu pada malam tadi.

Ramli menjelaskan, dia berpegang kepada prinsip tidak mahu menjatuhkan semangat Zamani selepas penyanyi itu berdepan dengan persembahannya yang bermasalah.

“Untuk lagu pertama saya tidak mahu komen sebab prinsip saya tidak akan pijak orang yang dah jatuh tapi dia bangkit untuk lagu kedua.

“Semua juri memberi markah hampir maksimum. Malam separuh akhir ini penjurian berdasarkan dua lagu bertanding. Bertenang okay,” tulisnya di Instagram.

Kata Ramli, atas kesilapan itu dia tidak bersikap berat sebelah dan tetap memberi markah rendah kepada Zamani.”Saya terkejut apabila dia tak dapat cari key lagu (bukan silap lirik), saya bagi dia kosong markah.

“Tapi selepas separuh lagi dia dapat balik key lagu itu. Saya patut bagi dia markah sebab dia tak berganjak dari kesilapan dia,” katanya.

Selain Ramli, juri profesional yang mengadili semua peserta adalah Datuk Khadijah Ibrahim dan Datuk Yusof Haslam. – MalaysiaGazette