Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang dikenali sebagai ‘Boy Tiger’ ditahan reman tujuh hari oleh Mahkamah Majistret Ampang di sini, hari ini berhubung kes dera sehingga menyebabkan kematian anak tirinya yang berusia tiga tahun minggu lepas.

Majistret Haslinda A. Raof mengeluarkan perintah reman bermula hari ini sehingga 19 Nov selepas membenarkan permohonan polis untuk menahan reman lelaki berusia 31 tahun itu bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi kesalahan membunuh yang memperuntukkan hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, lelaki yang memakai kemeja-T hitam itu tiba di mahkamah pada pukul 11 pagi.

Semalam, akhbar melaporkan, selepas empat hari menghilangkan diri, suspek berjaya ditahan pihak polis di Hospital Kajang ketika melawat isterinya yang sedang mendapatkan rawatan selepas melahirkan anak di hospital berkenaan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Senior Asisten Komisioner Fadzil Ahmat berkata, suspek ditahan pada 11 pagi ketika melawat isterinya yang berusia 20 tahun.

“Difahamkan, wanita yang turut dicari polis itu mendapatkan rawatan di hospital berkenaan selepas melahirkan bayi lelaki di sebuah inap desa di Hulu Langat,” katanya.

Fadzil berkata, mangsa sebelum itu dipercayai dibawa oleh ibu kandung dan bapa tirinya ke jabatan kecemasan hospital berkenaan dalam keadaan tidak sedarkan diri, pada 12 tengah hari, 8 Nov lalu.

— BERNAMA

Dera anak tiri: Boy Tiger ditangkap

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast