Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad bercakap kepada media pada Majlis Pelancaran Not Emas Harapan hasil inisiatif Poh Kong di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 08 NOVEMBER 2018.
Dr Mahathir Mohamad

SINGAPURA – Pegawai-pegawai Goldman Sachs Group Inc menipu Malaysia ketika berurus niaga dengan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), kata Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau mengakui Malaysia akan melaksanakan langkah agresif untuk mendapatkan semua yuran yang diterima oleh bank berkenaan.

Bank pelaburan Amerika Syarikat itu kini disiasat kerana berperanan mengumpul dana melalui penawaran bon untuk 1Malaysia Development Bhd (1MDB), yang kini menjadi tumpuan siasatan berhubung rasuah dan penggubahan wang haram melibatkan enam negara.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat berkata, kira-kira AS$4.5 bilion (RM18.9 bilion) telah disalahgunakan dari 1MDB, termasuk sejumlah wang yang dibantu oleh Goldman Sachs dari tahun 2009 hingga 2014.

Awal bulan ini, dua pegawai bank itu telah didakwa dengan pertuduhan jenayah.

“Terdapat bukti apa yang dilakukan oleh Goldman Sachs adalah salah.

“Jelas sekali kita telah ditipu melalui pematuhan pegawai Goldman Sachs.

“Kawalan pematuhan bank itu “tidak berfungsi dengan baik”, kata Dr Mahathir ketika diwawancara oleh CNBC.

Jurucakap Goldman Sachs di Hong Kong enggan mengulas mengenai wawancara itu.

Saham Goldman Sachs menjunam ke paras terendah dalam dalam tempoh dua tahun pada hari Isnin selepas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, Malaysia akan menuntut pembayaran balik yuran-yuran yang diraih oleh bank itu daripada urus niaga 1MDB.

Tetapi, Goldman menafikan sebarang salah laku.

Goldman memperoleh kira-kira AS$600 juta (RM2.5 bilion) daripada yuran bagi kerja-kerja yang dilaksanakan dengan 1MDB, termasuk tawaran tiga bon pada tahun 2012 dan 2013 yang meraih sebanyak AS$6.5 bilion (RM273 juta).

Guan Eng hari ini berkata, bahawa Malaysia mahu menuntut bayaran yang dibayar kepada Goldman, termasuk kerugian akibat perbezaan kadar faedah.

Beliau berkata, kadar Malaysia yang dibayar adalah kira-kira 100 mata asas lebih tinggi daripada kadar pasaran.

Para pengkritik mengatakan yuran yang diperoleh oleh Goldman adalah jauh melebihi 1 hingga 2 peratus yuran normal bank bagi membantu menjual bon.

Goldman sebelum ini berkata, yuran yang di luar jangkaan adalah berkaitan dengan risiko tambahan, ia membeli bon tidak diberi penarafan sementara ia mencari pelabur.

Dan, dalam perjanjian bon 2013 yang diperoleh sebanyak AS$2.7 bilion (RM11.3 bilion), 1MDB mahukan dana dengan cepat untuk pelaburan yang telah dirancang.

Malaysia, tambah Guan Eng akan berusaha mendapatkan balik wang berkenaan dan menyerahkan perkara itu kepada Peguam Negara. – MalaysiaGazette