KUALA LUMPUR – Perodua mencapai kejayaan besar dengan lebih setengah juta Kenderaan Cekap Tenaga (EEV) dihasilkan dan dijual di Malaysia, sekaligus mengukuhkan statusnya sebagai syarikat EEV nombor satu negara.

Sejak pelancaran EEV pada 2014 melalui Axia, Perodua telah menjual sebanyak 344,000 model itu, 130,800 unit Bezza dan 75,800 unit Myvi baharu

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Aminar Rashid Salleh berkata, tidak terhad kepada produk – kilang Perodua Global Manufacturing Sdn Bhd, yang mengeluarkan Axia dan Bezza, juga merupakan kilang bertaraf EEV pertama di Malaysia.

Kilang itu menggabungkan teknologi cekap tenaga dalam mengurangkan kadar pelepasan pengeluaran serta menetapkan piawaian baru dari segi kualiti, pengurusan kos dan penghantaran.

“Kecekapan bahan api kenderaan kami menyumbang kepada kos operasi yang sangat rendah, dan juga selaras dengan aspirasi kerajaan untuk menjadikan Malaysia lebih bersih dan hijau serta trend global ke arah kenderaan yang lebih cekap bahan api.

“Lebih-lebih lagi, kenderaan kami mampu dimiliki oleh kebanyakan rakyat Malaysia, digabungkan dengan ciri-ciri Perodua iaitu berkualiti tinggi, kebolehpercayaan, praktikaliti, kemudahan memandu dan rangkaian perkhidmatan terbesar di negara ini,” katanya.

Aminar mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana menjadikan Perodua jenama pilihan.

“Sokongan padu anda sepanjang 25 tahun ini menggalakkan kami untuk terus berusaha, kerana anda keutamaan kami,” tambah beliau. – MalaysiaGazette