Sekumpulan kanak-kanak Rohingya menunggu makanan di kem pelarian di Cox's Bazar . foto Reuters

COX’S BAZAR – Penghantaran pulang penduduk Islam Rohingya ke Myanmar tidak dijalankan seperti yang dirancang pada hari ini, menurut sumber,

Ini kerana, rancangan itu telah dibantah oleh Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHCR) yang khuatir keselamatan mereka.

Bangladesh telah memulakan persediaan untuk menghantar kumpulan pertama Rohingya pada hari ini, selepas sepakatan dicapai oleh kedua-dua negara pada Oktober lalu.

Dan, Bangladesh juga berjanji tidak akan memaksa pelarian untuk pulang ke negara mereka dan telah meminta UNHCR
menyenarai pendek penduduk Rohingya yang mahu pulang.

“Ia tidak akan berlaku esok kerana tiada yang mahu pulang semula,” kata sumber.

Kerajaan Bangladesh dijangka membuat pengumuman mengenai perkara itu pada hari ini.

Penghantaran pulang itu, pada awalnya membabitkan 2,300 orang pelarian.

Malah, Myanmar juga menyatakan kesediaan untuk menerima kepulangan mereka.

Lebih daripada 700,000 pelarian Rohingya melarikan diri ke Bangladesh selepas kawasan penempatan mereka diserang oleh pasukan keselamatan Myanmar pada tahun lalu.

Selain kampung diserang, pasukan keselamatan turut membunuh dan merogol penduduk-penduduk Rohingya – yang disifatkan oleh PBB sebagai pembersihan etnik.

Myanamr menafikan semua tuduhan itu dengan mendakwa tindakan itu berpunca daripada serangan oleh pemberontak Rohingya ke atas pasukan keselamatan. – MalaysiaGazette