SHAH ALAM – Dewan tempat persidangan perwakilan Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR Pusat petang ini gamat dengan pekikan ‘boo’ sebaik sahaja Jawatankuasa Pemilihan Pusat (JPP) mengumumkan Akmal Nasrullah Mohd Nasir sebagai Ketua AMK yang baharu.

Keadaan bertambah bingit dengan perwakilan bercakap sesama sendiri diselubungi seribu tanda tanya dan ramai antara mereka bertindak keluar dewan itu kerana tidak berpuas hati.

Masing-masing perwakilan yang hadir ke Kongres Keadilan Wanita dan AMK itu menganggap Dr Afif Bahardin sebagai Ketua AMK yang baharu bagi penggal 2018-2021.

Nama Akmal Nasrullah yang juga Ahli Parlimen Johor Bahru tidak menonjol sepanjang sembilan minggu tempoh pemilihan berlangsung, menyebabkan kemenangannya sukar diterima oleh perwakilan.

Turut diumumkan menang ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gombak Setia, Hilman Idham sebagai Timbalan Ketua AMK yang baharu.

Ketika menyampaikan ucapan sulungnya sebagai Ketua AMK, Akmal Nasrullah meminta semua perwakilan dan ahli bertenang dan menerima keputusan yang telah diputuskan oleh JPP berdasarkan undi ahli.

Beliau turut menyeru ahli dan kepimpinan AMK Pusat memberi kerjasama kepadanya dalam menjalankan amanah yang dipertanggungjawab oleh ahli kepadanya. – MalaysiaGazette