Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan akan berbincang dengan barisan peguamnya keperluan untuk memfailkan rayuan berhubung keputusan petisyen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, yang diputuskan hari ini oleh Mahkamah Tinggi di sini.
Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan akan berbincang dengan barisan peguamnya keperluan untuk memfailkan rayuan berhubung keputusan petisyen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, yang diputuskan hari ini oleh Mahkamah Tinggi di sini.

SEREMBAN – Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan akan berbincang dengan barisan peguamnya keperluan untuk memfailkan rayuan berhubung keputusan petisyen Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, yang diputuskan hari ini oleh Mahkamah Tinggi di sini.

Beliau yang merupakan responden pertama dalam petisyen yang difailkan calon PKR, Dr S. Streram, berkata beliau menghormati keputusan mahkamah hari ini yang memutuskan kemenangannya untuk kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau pada PRU yang lepas adalah tidak sah dan batal.

“Saya perlukan masa untuk berbincang dan kami ada 14 hari untuk memfailkan rayuan, sekiranya perlu,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di luar mahkamah.

Ditanya sama ada beliau akan mempertahankan jawatannya sekiranya Pilihan Raya Kecil (PRK) diadakan, Mohamad berkata itu terpulang kepada parti.

“Bagi mempertahankan jawatan, sepatutnya saya bertanding tetapi sekarang terpulang pada parti dan pucuk pimpinan untuk memutuskan calon yang terbaik,” katanya.

Pada 28 April lepas, Mohamad diumumkan menang tanpa bertanding kerusi DUN Rantau selepas Dr Streram dilarang masuk ke pusat penamaan calon ekoran tidak memiliki pas yang dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Berikutan itu, pada 23 Mei lalu, Dr Streram yang juga pakar bius memfailkan petisyen di mahkamah bagi memohon PRK DUN itu diadakan semula, kerana mendakwa penyandangnya tidak dipilih secara sah dan terbatal.

Dalam petisyennya, selain Mohamad selaku responden pertama, Dr Streram turut menamakan pegawai pengurus pilihan raya bagi kawasan Parlimen Rembau, Amino Agus Suyub sebagai reponden kedua; dan SPR responden ketiga.

Sementara itu, Dr Streram berkata beliau terlalu gembira dengan keputusan hari ini yang membuktikan demokrasi berparlimen ditegakkan.

“Saya merasa sangat gembira sebab enam bulan kita berlawan dengan barisan peguam yang handal untuk memdapatkan keputusan untuk rakyat Malaysia.

“Sama ada saya akan menjadi calon PKR untuk PRK yang akan datang ini, itu terpulang kepada parti untuk memilih, walaupun saya yang mencabar keputusan pilihan raya ini,” katanya.

Sementara itu, wakil SPR berkata badan itu akan mengeluarkan notis kekosongan kerusi DUN Rantau dalam tempoh 30 hari setelah menerima sijil perakuan keputusan pilihan raya yang akan dikeluarkan mahkamah.

— BERNAMA

Mahkamah batal kemenangan Tok Mat di DUN Rantau

UMNO lancar jentera bagi hadapi kemungkinan PRK DUN Rantau