Khashoggi
Jamal Khashoggi dilihat memasuki bangunan konsulat pada 2 Oktober lalu dan tidak keluar dari premis berkenaan. foto BBC

 

RIYADH – Pendakwa raya Arab Saudi membuat kesimpulan bahawa seorang pegawai risikan memerintahkan pembunuhan Jamal Khashoggi, dan bukan Putera Mahkota Mohammed bin Salman.

Pegawai itu ditugaskan untuk memujuk wartawan itu kembali ke Arab Saudi, kata seorang jurucakap.

Katanya, Khashoggi diberi suntikan maut selepas berlaku pergelutan di konsulat Arab Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu.

Pendakwa raya telah mendakwa 11 orang susulan pembunuhan Khashoggi dan akan menjatuhkan hukuman mati untuk lima daripada mereka.

Kes itu telah dirujuk ke mahkamah sementara siasatan terhadap 10 lagi suspek diteruskan.

Jabatan Perbendaharaan Amerika Syarikat telah mengenakan sekatan ekonomi kepada 17 pegawai Arab Saudi yang dikatakan telah “merancang pembunuh secara kejam” Khashoggi.

Mereka termasuk Saud al-Qahtani, bekas penasihat kepada Putera Mahkota yang dikatakan menjadi “sebahagian daripada perancang dan pelaksana operasi” hingga terbunuhnya Khashoggi.

Manakala Maher Mutreb dan Mohammed Alotaibi, Konsul Jeneral Istanbul pula didakwa menyelaras dan melaksanakan operasi itu.

Setiausaha Negara, Mike Pompeo berkata, sekatan itu adalah “langkah penting dalam maklum balas pembunuhan Khashoggi” dan berikrar “terus mencari fakta-fakta yang relevan, berunding dengan Kongres, dan bekerjasama dengan negara-negara lain supaya bertanggungjawab terhadap mereka yang terlibat”.

Pada sidang media di Riyadh, Timbalan Pendakwa Raya, Shalaan bin Rajih Shalaan berkata, badan Khashoggi telah dikera di dalam konsulat sejurus selepas dibunuh.

Bahagian badan kemudian diserahkan kepada “pihak yang bekerjaama’, katanya.

Siasatan kini menjurus mengesan mayat Khashoggi.

Bagaimanapun, Shalaan tidak mendedahkan mana-mana pihak yang didakwa membunuh itu.

Tambahnya, siasatan telah mendedahkan orang yang mengarahkan pembunuhan tersebut adalah ketua pasukan perundingan” yang dihantar ke Istanbul oleh ketua ketua perisik Jeneral Ahmed al-Assiri, yang memaksa Khashoggi untuk kembali ke Arab Saudi.

“Putera mahkota tidak mempunyai sebarang pengetahuan mengenai pembunuhannya,” tegasnya.

Putera Mohammed, anak Raja Salman dan pemerintah Arab Saudi, telah menafikan sebarang peranan pembunuhan Khashoggi.

Namun, para pengkritik yakin ia tidak mungkin dia tidak mengetahui tentang operasi itu.

Ini kerana, daripada 21 orang yang ditahan berhubung siasatan itu, beberapa orang pernah bekerja dengannya.

Jeneral Assiri dan Qahtani telah dipecat ekoran insiden itu dan disenaraihitam daripada keluar negara tetapi kedudukan mereka tidak didedahkan. – MalaysiaGazette