Anwar Ibrahim

SHAH ALAM – Baru Bian tidak memberi penjelasan sebab itu saya tegur dia tadi”.

Itu teguran tegas Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap pemimpin PKR berkenaan yang berstatus Menteri Kerja Raya apabila tidak muncul ke Kongres Nasional Ke-13 PKR hari ini.

Presiden PKR itu terdahulu dalam ucapan di Kongres petang tadi menempelak para pemimpin yang menganggotai Kabinet tetapi tidak hadir ke majlis parti berkenaan tanpa alasan munasabah.

Katanya, beliau tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemimpin PKR walaupun berjawatan dalam Kabinet tetapi wajib memberi keutamaan kepada mesyuarat atau majlis parti.

“Saya tidak akan berkompromi kecuali mempunyai alasan yang boleh diterima.. Datuk Saifuddin Abdullah mengikuti rombongan rasmi kerja Perdana Menteri ke Papua New Guinea..manakala Dr.Xavier Jayakumar berada di Mesir menghadiri persidangan mesyuarat menteri.

“Itu urusan rasmi kerajaan kita terima tetapi pemimpin lain, Baru Bian dia tidak memberi penjelasan..sebab itu saya tegur dia tadi,” jelas beliau dalam sidang media ketika ditanya wartawan di sini.

Terdahulu Datuk Seri Anwar Ibrahim secara rasminya diumumkan sebagai Presiden baharu menggantikan Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail yang akan menerajui kepimpinan PKR bersama Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang telah dipilih sebagai Timbalan Presiden parti sehingga 2021.

Namun Saifudin, Xavier dan Baru Bian tidak kelihatan di Kongres yang berlangsung sejak Khamis lalu.-MalaysiaGazette