Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berucap pada Kongres Nasional Parti Keadilan Rakyat (PKR) Ke-13 di Pusat Konvensyen IDCC Shah Alam, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 18 NOVEMBER 2018.

SHAH ALAM – Kerajaan tidak akan tergesa-gesa mengiktiraf ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Sehubungan itu, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, Bumiputera dan kaum Melayu tidak perlu bimbang.

“Bumiputera dan Melayu jangan risau, kita tidak tergesa-gesa melakukan ratifikasi ICERD kerana kita telah laksanakan beberapa prinsip utama dalam perkara tersebut… Jangan kita tunduk dengan kuasa besar,” katanya semasa menyampaikan ucapan penggulungan Kongres Nasional Keadilan Ke-13 hari ini.

Azmin berkata, PKR telah lama mengambil pendekatan memberikan kesamarataan kepada semua agama dan kaum termasuklah dalam bidang ekonomi.

“Saya nak beritahu kepada mereka, kita dalam PKR lebih awal telah mengambil tindakan supaya semua kaum mendapat kesaksamaan pengagihan ekonomi dalam negara dasar ekonomi yang diperkenalkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bukan lagi berdasarkan kaum tetapi berdasarkan keperluan tanpa mengira kaum, pangkat,” tambahnya.

Isu ICERD tercetus apabila Menteri Di Jabatan Perdana Menteri P. Waythamoorthy sebelum ini berkata, kerajaan Pakatan Harapan akan melaksanakan ratifiksi konvensyen itu.

Ianya menimbulkan pelbagai respon dengan kebanyakan menentangnya termasuklah UMNO, Pas, juga Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM).

Petisyen untuk membantah ICERD turut diwujudkan oleh pengamal undang-undang.- MalaysiaGazette