Putera Mohammed bin Salman

WASHINGTON – Amerika Syarikat masih belum membuat kesimpulan tentang kes pembunuhan Jamal Khashoggi meskipun Agensi Perisikan Pusat (CIA) percaya jenayah itu dilakukan atas perintah Putera Mahkota.

“Banyak soalan tidak terjawab” kekal, kata kenyataan Jabatan Negara.

Sumber mengatakan, Amerika Syarikat tidak percaya pembunuhan itu boleh berlaku tanpa persetujuan Mohammed bin Salman.

Arab Saudi telah menafikan mengetahui tentang rancangan pembunuhan wartawan tersebut.

Khashoggi, seorang pengkritik kerajaan Arab Saudi, dibunuh selepas memasuki konsulat Saudi di Istanbul pada 2 Oktober lalu semasa mendapatkan dokumen perkahwinan.

Arab Saudi kemudian mengesahkan kematian Khashoggi sebagai ‘akibat daripada tindakan yang menyalahi undang-undang’.

Pendakwa raya Arab Saudi telah menahan 11 orang atas dakwaan membunuh dan bakal mengenakan hukuman mati terhadap lima daripada mereka.

The Washington Post, yang merupakan majikan Khashoggi berkata, penilaian CIA didasarkan pada panggilan telefon yang dibuat oleh abang putera mahkota, Putera Khalid bin Salman, Duta Saudi ke Amerika Syarikat.

Putera Khalid didakwa memanggil Khashoggi atas arahan abangnya dan memberinya jaminan bahawa wartawan itu akan selamat untuk pergi ke konsulat.

Putera Mahkota digambarkan sebagai raja de facto kerajaan.

Namun, Putera Khalid, yang sudah kembali ke Arab Saudi melalui Twitter berkata, beliau tidak pernah berhubung dengan Khashoggi selama hampir setahun.

Malah, beliau menegaskan tidak pernah mencadangkan Khashoggi, yang berada di London bagi satu persidangan sehingga hari sebelum kehilangannya – perlu ke Turki untuk sebarang sebab.

Difahamkan CIA telah meneliti panggilan yang dibuat kepada pembantu kanan Mohammed bin Salman oleh pasukan yang melakukan pembunuhan tersebut.

Sumber-sumber berkata, walaupun tidak ada satu bukti yang menghubungkan Putera Mahkota dengan pembunuhan itu, tetapi para pegawai percaya operasi seumpama itu memerlukan persetujuannya. – MalaysiaGazette