Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), Wan Saiful Wan Jan bercakap pada sidang media mengenai Penangguhan Bayaran Balik Pinjaman di Dewan Utama, Menara PTPTN, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 16 JULAI 2018
Wan Saiful Wan Jan

KUALA LUMPUR – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) akan ditutup jika penangguhan pembayaran balik pinjaman tabung itu diteruskan.

Pengerusinya, Wan Saiful Wan Jan yang mempertahankan kegagalan Pakatan Harapan (PH) untuk melaksanakan janji manifesto untuk menangguhkan pembayaran balik kepada peminjam berkata, langkah itu mempunyai kesan negatif jangka panjang terhadap PTPTN.

Kami menghargai cadangan oleh semua pihak untuk PH untuk memenuhi manifesto pilihan raya. Bagaimanapun, kami tidak dapat memenuhi janji ini sekarang,” katanya seperti yang dilaporkan New Straits Times di Karnival Karier Pendidikan 2018 di Arau, Perlis.

Dalam janji manifesto, PH telah menawarkan penangguhan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada peminjam yang bergaji kurang RM4,000 sebulan.

Mengulas mengenai cadangan kaedah baharu pembayaran balik pinjaman PTPTN, beliau berkata, mekanisme itu masih dikaji semula dan tertakluk kepada kelulusan Kementerian Hal Ehwal Ekonomi.

“Saya merayu Kementerian Hal Ehwal Ekonomi untuk mempercepatkan proses perbincangan dalaman kerana kami telah menunggu lebih dari dua bulan.

“Sebaik sahaja mereka memuktamadkan keputusan, kami akan membawanya kepada Kabinet, yang mana ia akan diputuskan sekiranya ia dapat dilaksanakan atau sebaliknya,” katanya. – MalaysiaGazette