Kaum wanita dan kanak-kanak Rohingya dalam sebuah bot yang digunakan untuk melarikan diri ke Bangladesh pada tahun lalu. foto Agensi

COX’S BAZAR – Pelan penghantaran dan penempatan semula pelarian Rohingya akan dihentikan sementara waktu dan akan dimulakan pada tahun depan, selepas pilihan raya umum pada akhir tahun ini.

Pesuruhjaya Bantuan dan Penempatan Pelarian Bangladesh, Abdul Kalam berkata, tindakan baharu perlu dilaksanakan mengambil kira kehendak pelarian.

Bagaimanapun, katanya, ia merupakan pendirian peribadinya dan bukan keputusan kerajaan.

Lebih daripada 720,000 pelarian Rohingya melarikan diri ke Bangladesh selepas berlaku keganasan dilakukan oleh pasukan keselematan di penempatan mereka di Rakhine, Myanmar pada tahun lalu.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menyifatkan tindakan tersebut sebagai pembersihan etnik.

Keganasan itu didakwa berlaku sebagai tindakan balas serangan di pos pengawal polis oleh pemberontak Rohingya.

Penduduk Rohingya mendakwa pasukan keselamatan dan penganut Buddist membunuh keluarga mereka dengan membakar kediaman dan merogol.

Pada akhir Oktober lalu, Bangladesh dan Myanmar bersetuju untuk penghantaran pulang pelarian tetapi dibantah oleh komuniti Rohingya yang khuatir dengan nasib mereka.

Sepatutnya penghantaran pulang bermula pada 15 November lalu membabitkan 2,200 orang. Namun, tiada seorang pun mahu pulang sekiranya permintaan untuk mendapatkan kewarganegaraan, keadilan dan kembali ke kampung asal tidak dipenuhi.

“Saya berpandapat tiada siapa yang setuju untuk pulang tanpa jaminan ini,: katanya yang menggesa antarabangsa untuk memberi tekanan kepada Myanmar untuk menerima permintaan tersebut.

Myanmar tidak menganggap Rohingya sebagai kumpulan etnik asli dan memanggil mereka “Bengalis” kerana beranggapan mereka berasal dari Bangladesh.

Negara itu bagaimanapun telah bersetuju untuk mengambil kembali Rohingya dan memberi Kad Pengesahan Negara, yang mana ia akan membenarkan Rohingya memohon kewarganegaraan.

Namun, Rohingya menolak kad itu dengan mengatakan ia menamakan mereka sebagai orang asing.

Kalam percaya Myanmar perlu mencadangkan “laluan yang lebih jelas” kepada kewarganegaraan untuk Rohingya. – MalaysiaGazette