Seorang sarjan tentera antara lapan lelaki Orang Asli yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menyebabkan kematian seorang lelaki enam tahun lalu.
Gambar hiasan

KAJANG – Perintah tahanan reman terhadap seorang penggunting rambut dalam kes kematian bayi perempuan berusia 11 bulan, Nur Muazara Ilfa Mohammad Zainal dipercayai akibat didera dua minggu lalu, dilanjutkan seminggu lagi.

Lanjutan perintah reman itu yang dikeluarkan Pendaftar Mahkamah Majistret Kajang Sharifah Fazilah Zulkifli di sini hari ini, bermula esok hingga Isnin depan.

Ini adalah kali kedua tempoh reman terhadap lelaki berumur 36 tahun itu yang juga suami pengasuh mangsa dilanjutkan selepas tempoh sambung reman pertamanya berakhir hari ini.

Lelaki itu direman pada 9 Nov lalu bagi membantu siasatan dan disambung reman buat kali pertama pada 13 Nov.

Mahkamah sama turut membenarkan permohonan melanjutkan perintah reman terhadap pengasuh mangsa yang disambung tujuh hari lagi bermula hari ini hingga 25 Nov bagi membantu siasatan kes tersebut.

Permohonan itu dibuat selepas tempoh reman terhadap wanita berusia 28 tahun berkenaan tamat semalam.

Sebelum ini, media melaporkan perbuatan tidak berperikemanusiaan dilakukan ke atas Nur Muazara Ulfa yang meninggal dunia selepas dua hari berada dalam keadaan kritikal di Hospital Serdang, Selangor, dipercayai akibat didera secara fizikal dan seksual oleh suami kepada pengasuhnya.

Ibu mangsa pada awalnya dimaklumkan pihak Hospital Serdang bahawa mangsa dihantar ke hospital itu oleh pengasuh dan suaminya selepas pasangan terbabit mendakwa mangsa tercekik epal.

Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut ke atas mangsa mendapati terdapat kesan koyakan pada selaput dara dan duburnya manakala hasil bedah siasat Jabatan Patologi Hospital Serdang mendapati punca kematian mangsa disebabkan ‘impak dipercayai objek tumpul terhadap kepala’ dengan tempurung kepala mangsa pecah selain kesan lebam pada bahagian atas kiri dan kanan kepala mangsa.

Susulan itu, pasangan suami isteri berkenaan ditahan bagi membantu siasatan kes kematian menyayat hati bayi tersebut yang mendapat perhatian masyarakat di seluruh negara. – MalaysiaGazette