Dr Ong Kian Ming
Ong Kian Ming

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang menimbang untuk melakukan siasatan terperinci mengapa projek Taman Perindustrian Maritim Tanjung Agas di Pekan Pahang yang dilaburkan berbilion ringgit oleh kerajaan terdahulu masih tidak dapat direalisasikan.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming berkata, pihaknya sedia maklum tentang status projek Tanjung Agas ketika masih menjadi pembangkang lagi.

Malah kata Kian Ming, beliau sendiri secara peribadi pernah mengadakan lawatan ke kawasan itu dua tahun lepas untuk mengetahui dengan lebih terperinci apakah yang sedang berlaku sehingga pelabur ‘enggan’ melabur di Tanjung Agas.

“Sebenarnya, jika anda tanya saya apakah status terkini projek tersebut, saya masih lagi tiada jawapan. Tetapi, dua tahun lalu saya pernah berkunjung ke sana untuk mencari punca mengapa projek berbilion tidak dapat direalisasikan sehingga kini.

“Tetapi apa yang sedar ketika berada di sana ketika itu ialah walaupun ada infrastruktur di sediakan namun tiada sebarang pelaburan besar yang masuk.

“Saya berharap akan dapat akan membuat kunjungan sekali lagi untuk menyiasat mengapakah pengumuman berbilion seperti yang diumumkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak dapat direalisasikan sehingga kini,” katanya ketika soal lisan di Dewan Rakyat sebentar tadi.

Beliau menjawab Ahli Parlimen Pendang (Pas),  Awang Hashim yang bertanya tentang status terkini berhubung projek Tanjung Agas yang akan dibangunkan sebagai taman perindustrian di Pekan, Pahang.

Sebelum ini, kerajaan terdahulu pernah menafikan Projek Taman Perindustrian Maritim Tanjung Agas, Pekan berdepan masalah sebaliknya, ia kini dalam fasa perbincangan dengan pelabur berpotensi luar negara untuk memajukan projek itu.

Projek ini yang dilancarkan pada 2010 di kawasan seluas 1,710 hektar, yang merupakan sebahagian daripada inisiatif Wilayah Pembangunan Pantai Timur (ECER) untuk mewujudkan peluang pekerjaan dan pelaburan berimpak tinggi.

Sementara itu, dalam isu berbangkit lain, kata Kian Ming, kerajaan sentiasa komited dalam mengkuhkan usaha bagi menarik pelaburan asing ke dalam negara bagi memastikan Malaysia sentiasa kekal sebagai destinasi utama pilihan para pelabur.

Mengulas lanjut, Kian Ming berkata, bagi tempoh Januari sehingga Jun 2018, jumlah pelaburan asing yang telah di luluskan bernilai RM26.5 bilion.

“Projek-projek ini merangkumi sektor utama, perkilangan dan perkhidmatan perkilangan. Untuk perkilangan sahaja, kita telah luluskan sebanyak RM15.2 bilion atau 57 peratus. Ini di ikuti dengan sektor perkhidmatan sebanyak RM6.0 bilion.

“Bagi sektor utama pula, sebanyak RM5.3 bilion ketika ini. Untuk perkilangan, negara Republik Rakyat China (RRC) mencatatkan jumlah pelaburan asing tertinggi sebanyak RM6.6 bilion di ikuti Republik Korea, RM2.4 bilion dan Singapura RM0.8 bilion,” ujarnya. –MalaysiaGazette