KUALA LUMPUR – Penaja program Gegar Vaganza (GV) Musim Ke-5, Datuk Seri Aliff Syukri kesal dengan layanan Astro terhadapnya semasa konsert final yang berlangsung semalam.

Aliff terkilan apabila beberapa orang rakannya yang juga usahawan produk tempatan terkenal tidak dibenarkan menari bersama di atas pentas GV bagi mempromosikan lagu baharu berjudul Biar Apa Orang Kata.

“Habis madu sepah dibuang itulah yang saya rasa bila dah taja berjuta-juta.

“Saya masih kuat walaupun terasa menyesal dengan apa yang berlaku malam tadi.

“Walaupun saya letih tapi sanggup kerja hari ini, walaupun hati sedih dilayan persis budak sekolah,” katanya menerusi Instagram.

Difahamkan penyanyi lagu Bobo Dimana ini bakal mengadakan satu sesi sidang media bagi menjelaskan situasi sebenar dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, Pengurus Saluran Astro Ria, Emarina Mohd Kamal berkata, tiada isu yang timbul pada peringkat awal kerana semuanya sudah dinyatakan secara jelas dalam perbincangan sebelum konsert berlangsung semalam.

Namun Emarina menganggap berlaku salah faham dan mahu mendengar kenyataan daripada Aliff terlebih dahulu.

“Sebenarnya, kita dah bincang dengan Datuk Aliff yang dia boleh menyanyi, semuanya dah dinyatakan dengan jelas.

“Bagi kami semuanya dah selesai, apa dia minta kita dah penuhi seperti telah dijanjikan cuma mungkin ada salah faham,” katanya. -MalaysiaGazette