Menteri Dalam Negeri merangkap Ahli Parlimen Pagoh, Tan Sri Muhyiddin Yassin bercakap kepada media selepas hadir pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI, 19 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – UMNO dan Pas boleh mengadakan demonstrasi bagi membantah ratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada 8 Disember depan.

Menurut Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kerajaan memberi kebebasan kepada penganjur untuk mengadakan perhimpunan aman membantah ICERD dengan aman.

Jelas Muhyiddin, polis akan dikerahkan bagi memastikan tidak ada sebarang insiden tidak diingini berlaku ketika perhimpuan itu berlangsung di ibu negara kelak.

“Tidak ada sebarang isu untuk kumpulan ini mengadakan perhimpunan membantah ICERD. Tetapi perlu dilakukan dengan aman.

“Kita ingin nasihatkan mereka ini supaya tidak sesekali mengeluarkan kenyataan provokasi yang kemudian menyebabkan masalah lain yang tidak di ingini.

“Mohon patuh kepada undang-undang dan jangan lakukan sesuatu yang terlarang, itu sahaja. Kebebasan bersuara tetap diberikan agar penganjur dapat meluahkan apa yang dirasakan oleh mereka,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen sebentar tadi.

Bagaimanapun, Muhyiddin tidak mengesahkan tentang permit perhimpunan itu namun bertegas berkali-kali agar Akta Perhimpunan Aman dipatuhi tanpa sebarang masalah.

“Himpunan ini diperuntukkan di bawah Akta Perhimpunan Aman. Saya tak perlu ulang perkara itu, tetapi mereka perlu ikut undang-undang. Jangan buat suka hati.

“Ini adalah sebuah negara demokrasi, suarakan kebimbangan anda tetapi jangan sampai ianya melanggar undang-undang negara,” tegasnya.

Baru-baru ini kepimpinan tertinggi UMNO dan Pas telah bersetuju untuk mengadakan perhimpunan bersama bagi membantah rancangan kerajaan mahu meratifikasi ICERD kelak.

Himpunan Bantah ICERD akan digerakkan peringkat negeri-negeri sebelum kemuncaknya di Kuala Lumpur 8 Disember nanti dengan jangkaan lebih 30,000 hadirin. –MalaysiaGazette