KUALA LUMPUR – Meter pintar yang sedang giat dipasang di Melaka merupakan antara usaha Tenaga Nasional Berhad (TNB) menggalakkan para pelanggannya memanfaatkan teknologi.

Menerusi teknologi telekomunikasi meter pintar, data penggunaan elektrik disalurkan setiap setengah jam bagi membantu pengguna mengurus perbelanjaan tenaga isirumah dengan lebih bijak, kata TNB dalam satu kenyataan.

“Meter pintar menyalurkan data tersebut menggunakan sama ada gelombang frekuensi radio (RF), kabel elektrik atau teknologi selular, GPS dan bagi meter pintar yang menggunakan RF, gelombang radiasi RF jauh lebih rendah berbanding peralatan elektrik dan telefon mudah alih,” kata kenyataan yang sama.

Menurut organisasi bebas antarabangsa, Smart Energy Consumer Collaborative (SECC) yang berpangkalan di Atlanta, Amerika Syarikat, radiasi gelombang RF meter pintar secara relatifnya adalah jauh lebih rendah berbanding pelbagai peralatan elektrik dan gajet harian.

Sebagai perbandingan, gelombang RF meter pintar pada jarak tiga meter hanyalah empat mikrowatt sentimeter (cm) per segi. Bacaan RF telefon pintar ketika digunakan di telinga pula adalah antara 1,000 hingga 5,000 mikrowatt cm per segi manakala ketuhar mikro, pada jarak 0.6 meter adalah antara 50 hingga 200 mikrowatt cm per segi.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia pula telah menyatakan tiada kesan buruk kepada kesihatan akibat terdedah kepada paras rendah RF seperti smart meter. Malah, seperti juga meter biasa, tiada keperluan untuk pengguna mendekati meter pintar.

TNB dalam proses memasang 1.5 juta meter pintar bermula dengan pemasangan 340,000 meter pintar di Melaka diikuti Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Seterusnya, meter pintar akan dipasang ke seluruh Semenanjung Malaysia.- MalaysiaGazette