Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad (tengah) bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Anti Rasuah di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 21 NOVEMBER 2018

PUTRAJAYA – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) hari ini menangguhkan pelaksanaan pemisahan antara fungsi Pendakwa Raya dan Peguam Negara kerana cadangan itu memerlukan pindaan perlembagaan, kata Perdana Menteri.

Menurut Tun Dr. Mahathir Mohamad, kajian terperinci akan dilakukan memandangkan kerajaan PH masih belum menerima cukup undi dua pertiga dalam Dewan Rakyat.

“Ini melibatkan perlembagaan dan waktu ini kita belum mempunyai jumlah yang cukup dua pertiga dalam dewan untuk menentukan pindaan ini dapat diluluskan sebab itu perkara ini ditangguhkan,”katanya selepas mesyuarat Anti Rasuah dengan bersama-sama Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah (JKKMAR) di pejabatnya hari ini.

Dalam masa yang sama juga kerajaan menurutnya akan mengkaji semula keperluan untuk melarang penglibatan penjawat terhadap parti politik.

Jelas Mahathir, kerajaan masih belum boleh memuktamadkan isu itu kerana wujud situasi yang tidak jelas apabila wujud keperluan pegawai-pegawai tertentu menjalankan tugas daripada aspek gerakan parti kepada parti yang diwakilinya.

“Kita masih belum dapat menentukan apakah ada pegawai yang boleh dibenar terlibat dalam politik sudah tentu pegawai yang dilantik untuk menteri berkenaan mereka tentulah terlibat dengan politik kerana mereka menolong menteri mereka, membuat perhubungan dengan orang ramai dan sebagainya. Mereka tetap terlibat dengan politik.

“Tetapi pegawai-pegawai yang lain juga ada yang dibenarkan sejak dahulu lagi terlibat dengan politik seperti pegawai Kemas. Oleh kerana perkara ini masih belum dapat diperhalusi kita tidak buat (apa-apa) keputusan hari ini kita akan kaji semula tentang penglibatan pegawai kerajaan dalam politik. Ada samar-samar tentang ini,” tambahnya.-MalaysiaGazette