Wan Azizah Wan Ismail
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail bercakap pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sosial Negara Bil 1/2018 di Bangunan Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 22 NOVEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial untuk menangani isu perkahwinan bawah umur serta gangguan seksual terhadap kanak-kanak menjadi fokus utama Mesyuarat Majlis Sosial Negara (MSN) hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, mesyuarat tersebut juga membincangkan pelbagai isu bagi mencari jalan terbaik terhadap mekanisme dalam menangani isu sosial secara holistik.

“Pencegahan bermula dengan kesedaran dan pendidikan serta sekolah merupakan medium terbaik untuk tujuan ini,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat berkata, antara yang dibincangkan ialah langkah menangani gejala buli dan masalah penyalahgunaan dadah.

Perkara lain yang menjadi tumpuan iaitu usaha menangani masalah sosial di Kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR), isu kanak-kanak yang tercicir daripada akses pendidikan dan Transformasi Bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta isu remaja hamil luar nikah.

“Saya mengalu-alukan penglibatan daripada ahli-ahli Parlimen, akademik dan NGO untuk bekerjasama dengan ahli majlis dalam menyumbangkan cadangan penyelesaian kepada masalah sosial negara.

“Isu-isu sosial yang melibatkan kanak-kanak, warga emas, OKU dan wanita adalah keutamaan saya. Saya tidak akan berkompromi dalam hal ini,” tegasnya. – MalaysiaGazette