LRT
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Sempena perlawanan bola sepak yang menyaksikan Malaysia menentang Myanmar dalam Piala Suzuki Persekutuan Bolasepak Asia (AFF) di Stadium Nasional Bukit Jalil Sabtu ini, perkhidmatan LRT Laluan Sri Petaling dilanjutkan dengan Stesen Bukit Jalil dibuka sehingga 1 pagi.

Para peminat bola sepak khususnya para penyokong pasukan Harimau Malaysia digalakkan menggunakan perkhidmatan tren Rapid KL, yang turut meliputi perkhidmatan LRT Laluan Ampang, LRT Laluan Kelana Jaya dan perkhidmatan MRT Laluan Sungai Buloh – Kajang.

“Atas permohonan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Rapid KL akan melanjutkan perkhidmatan LRT dan MRT dengan Stesen Bukit Jalil dibuka pada hari Sabtu ini sehingga pukul 1 pagi bagi menyediakan kemudahan pengangkutan awam kepada para peminat bola sepak,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Stesen-stesen lain ditutup seperti biasa tetapi para penumpang boleh keluar daripada stesen-stesen berkenaan.

Para penumpang boleh bertukar laluan di stesen-stesen integrasi sama ada di Stesen Maluri atau Stesen Plaza Rakyat/Merdeka untuk menggunakan perkhidmatan MRT; atau di Masjid Jamek untuk ke Laluan Kelana Jaya.

Para penumpang juga boleh bertukar ke Laluan Kelana Jaya atau MRT di stesen integrasi Pasar Seni. – MalaysiaGazette