Orang ramai tidak melepas peluang hadir pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan (MAHA 2018) di MAEPS Serdang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 24 NOVEMBER 2018

SERDANG – Pameran Pertanian, Hortikulturdan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2018 telah mencapai jumlah pengunjung seramai 500,000 orang walaupun baru memasuki hari ketiga penganjurannya.

Kementerian Pertanian dan Asas Industri Tani berkata, jumlah pengunjung bertuah itu menjadi milik pasangan suami isteri Zolkapli Mohd .Darus dan Zainah Mat Nor .

Mereka berjaya memenangi hadiah Penapis Air Cuckoo yang bernilai RM4,00 hasil sumbangan Lembaga Pertubuhan Peladang.

MAHA 2018 merupakan pameran dwitahunan yang menjadi platform perniagaan dan pameran pertanian serta untuk memperkenalkan produk berasaskan pertanian itu akan berlangsung sehingga 2 Disember ini.

“MAHA 2018 yang berlangsung setiap hari bermula pada pukul 10 pagi hingga 7 malam telah berjaya menarik pelbagai kelompok pengunjung yang terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan bangsa.

“Sejumlah 501 produk sajian makanan popular disediakan di Empayar Makanan manakala lebih 100 gerai buah, sayur dan bunga tempatan turut dipamer serta dijual sepanjang ekspo berlangsung,” katanya di sini hari ini.

Sementara itu, kementerian berkata, ekspo pertanian yang bermula pada 22 November lalu bertemakan Our Food Our Future yang menyediakan ruang keseluruhan untuk pameran seluas 240,000 meter persegi.

Jelasnya, pameran dalaman pula terbahagi kepada enam kluster utama iaitu AgroTourism & Lifestyle, AgroFood, AgroYouth, Agro Technology, AgroCulinary dan Agro Based Trade.

“Bagi pameran luar dewan pula, sejumlah tujuh laman disediakan untuk dikunjungi meliputi Laman Padi, Laman Ternakan, Laman Perikanan, Laman Nanas, Laman Herba dan Sayur, Laman Florikultur dan Laman Mekanisasi Teknologi dan Automasi.

“Turut disediakan 13 pavilion negeri dengan reka bentuk unik negeri masing-masing yang menampilkan identiti kebudayaan serta pameran makanan tradisi untuk dinikmati oleh pengunjung,” katanya. – MalaysiaGazette