Baru Bian
Menteri Kerja Raya Baru Bian

SRI AMAN – Menteri Kerja Raya Baru Bian berkata beliau mematuhi keputusan kerajaan Pakatan Harapan untuk tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Baru, yang juga pengerusi PKR Sarawak dan satu-satunya menteri persekutuan tunggal dari negeri ini, berkata ia merupakan keputusan secara kolektif oleh kabinet persekutuan.

“Sudah tentu, mungkin terdapat sesetengah pihak yang tidak bersetuju dengan kerajaan hari ini.

“Itu hak mereka, saya faham ada pandangan yang berbeza dan saya menghargai pandangan yang berbeza,” kata beliau ketika ditanya mengenai pendirian PKR Sarawak berhubung perkara itu.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri taklimat mengenai kemajuan projek Hospital Sri Aman yang baharu bernilai RM176 juta, di sini hari ini.

— BERNAMA