Amirudin Shari
Amirudin Shari

CYBERJAYA – Kerajaan Selangor menolak dakwaan rancangan untuk menawarkan air percuma 25 meter padu hanya kepada kumpulan B40 berbanding kepada semua penduduk di negeri itu ketika ini dibuat susulan pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (SPLASH) oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari menegaskan pengambilalihan tersebut langsung tidak membabitkan sebarang peruntukan kewangan dari negeri tersebut sebaliknya ianya diambilalih oleh Air Selangor, syarikat tujuan khas yang ditubuhkan kerajaan negeri Selangor melalui pinjaman yang dibuat daripada kerajaan Persekutuan.

“Jadi (program pemberian air percuma) itu tak mempunyai kaitan dengan kesan pengambilalihan SPLASH sebagaimana anggapan beberapa pihak,” katanya kepada media selepas Majlis Program Agihan Perdana Bantuan Pendidikan Asnaf Fakir & Miskin Lembaga Zakat Selangor Sesi 2018 di sini hari in8

Ogos lalu, Air Selangor telah mengumumkan pengambilalihan SPLASH dengan nilai RM2.55 bilion yang mengakhiri episod penstrukturan air Selangor yang berlarutan sejak 10 tahun lalu.

Namun bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam berkata keputusan kerajaan Selangor dalam pemberian air percuma hanya kepada golongan B40 tidak mengejutkan malah sudah dijangkakannya terutama selepas kerajaan negeri membuat keputusan membayar RM2.55 bilion kepada SPLASH.

Abdul Khalid menganggap bayaran melebihi 10 kali ganda dari tawaran yang beliau lakukan ketika memegang jawatan Menteri Besar Selangor dahulu akan memberi beban yang besar kepada kerajaan negeri.

Berkenaan mekanisme pemberian air percuma kepada golongan B40 sebagaimana yang dibentangkan Amirudin pada pembentangan Belanjawan Selangor 2019 di Bangunan Dewan Negeri Selangor Jumaat lalu, Menteri Besar itu berkata perkara itu masih dalam peringkat perbincangan dengan Air Selangor.

“Kita akan lihat mekanisme tertentu dari segi permohonan dan sebagainya dan saya akan bincang dengan Air Selangor mengenai mekanisme terbaik bagi pelaksanaan program ini,” katanya.

Amirudin yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tua berkata pihaknya juga sedang meneliti untuk kaedah terbaik pemberian air percuma selain daripada golongan B40.

“Kita akan lihat mekanisme tertentu melalui data-data akaun air yang kita ada yang mana mereka yang tidak termasuk dalam B40 tetapi layak mengikut syarat-syarat tertentu yang akan nanti diputuskan,” katanya.

Dalam pada itu katanya beliau menjangkakan keputusan mekanisme pemberian air percuma tersebut akan diumunkan menjelang Mac atau April tahun hadapan.

Dalam pada itu, Lembaga Zakat Selangor hari ini memperuntukkan RM33.2 juta kepada lebih 60,000 orang anak-anak fakir dan miskin di seluruh Selangor bagi membiayai persiapan persekolahan sesi 2019 dalam bentuk bantuan kelengkapan dan yuran persekolahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast