KUALA LUMPUR – Eksport peranti perubatan Malaysia mencecah paras tertinggi sebanyak RM19.78 bilion pada 2017, meningkat 24.9 peratus berbanding 2016, kata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Pada kadar pertumbuhan pro-rata, MATRADE menjangka eksport peranti melepasi paras RM20 bilion pada akhir 2018.

“Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2018, eksport peranti perubatan ke Eropah mencecah RM5.2 bilion, kenaikan 12.9 peratus daripada tempoh yang sama tahun lepas,” kata Pengarah Gaya Hidup dan Sains Hayatnya, Abu Bakar Yusof dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata kenaikan itu sebahagiannya adalah hasil daripada penyertaan Malaysia dalam pameran berskala besar di dunia seperti Arab Health dan MEDICA.

Menurutnya, semasa penyertaan di MEDICA 2018 di Dusseldorf, Jerman, dari 12-15 Nov, Malaysia meraih keputusan yang baik dengan potensi eksport bernilai RM257.74 juta, peningkatan 24.4 peratus berbanding 2016.

Pameran itu disertai 10 syarikat Malaysia dan inisiatif tersebut merupakan penglibatan keenam MATRADE dalam acara perdagangan penjagaan kesihatan utama di Kesatuan Eropah sejak 2012.

Syarikat yang mengambil bahagian dalam pameran itu mewakili pelbagai sektor peranti perubatan seperti kit diagnostik dan ujian, sanitiser, kertas graf perubatan, alat kontraseptik inovatif, serta komponen perubatan.

MEDICA, sebagai contoh, disertai lebih 5,000 pempamer dengan lebih 120,000 pengunjung dan perbelanjaan penjagaan kesihatan rantau itu dijangka mencecah RM530 bilion menjelang 2020.

“Bagi MATRADE, kami percaya kehadiran kami di pameran sedemikian akan meningkatkan sektor peranti perubatan Malaysia dan membolehkan syarikat kita terus berkembang pesat pada masa akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette