Lim Guan Eng
Lim Guan Eng

KOTA KINABALU – Kerajaan Persekutuan sememangnya mahu menyerahkan 40 peratus daripada pendapatan bersih kepada Sabah seperti yang termaktub di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), tetapi tidak ada cukup wang untuk berbuat demikian, kata Lim Guan Eng.

Menteri Kewangan berkata, bukan Kerajaan Persekutuan mahu menangguhkan perkara itu tetapi ia memikirkan situasi kewangan negara sekarang, lapor The Star.

“Kami mahu mengembalikan semula hutang kepada Sabah.

“Tetapi bagaimana kita boleh melakukannya jika kita tidak mempunyai wang yang cukup?” Lim berkata semasa sidang akhbar selepas menghadiri kongres DAP Sabah di sini

Beliau mengulas mengenai hasil Sabah dan MA63 yang diletakkan di bawah jawatankuasa khas yang ditubuhkan oleh Kerajaan Persekutuan.

“Berilah kami masa untuk mengembalikan semula kedudukan kewangan, kita berusaha supaya Malaysia tidak bankrap,” katanya.

Bagaimanapun, Guan Eng berkata, kerajaan telah menambah peruntukannya untuk Sabah dalam Bajet 2019.

“Keseluruhan bajet yang diperuntukkan kepada Sabah telah meningkat, termasuk emolumen bagi anggota Pasukan Keselamatan Timur Sabah telah meningkat,” katanya.

Beliau berkata, dana pembangunan Esscom meningkat daripada RM36.7 juta pada 2018 kepada RM74.5 juta bagi tahun 2019.

Mengenai emolumen, Guan Eng berkata, ia meningkat daripada RM14.9 juta yang sedia ada kepada RM17 juta bagi 2019.
Dana untuk perkhidmatan Esscom juga meningkat daripada RM19.2 juta kepada RM25.6 juta bagi tahun 2019.

Beliau berkata, adalah tidak adil untuk mengatakan Kerajaan Persekutuan tidak memenuhi janjinya atau tidak memelihara Sabah ketika kerajaan sedang melakukan yang terbaik untuk memulihkan ekonomi kerana hutang masa lalu, termasuk RM50 bilion daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Kami juga perlu membayar pulangan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) – MalaysiaGazette