Zuraida
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan merangkap Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin bercakap pada sidang media pada Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen Malaysia, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI, 27 NOVEMBER 2018

KUALA LUMPUR – Rakyat diseru agar tidak beremosi ketika berdepan sesuatu isu sehingga mencederakan anggota bomba dan penyelamat.

Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin, ‘budaya’ samseng dengan memukul sesiapa sahaja termasuk penjawat awam harus dihentikan kerana sifat ini sangat keterlaluan.

“Memandangkan bomba datang dengan trak dan mereka masih belum keluar daripada kereta telah diserang. Ini anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang turun untuk bantu kereta terbakar.

“Perusuh itu ambil tindakan sendiri dengan pukul anggota bomba. Budaya ini harus dihentikan kerana mereka penjawat awam beruniform,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Awal pagi tadi, seorang anggota EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya cedera manakala jentera dinaiki turut dirosakkan kumpulan perusuh yang berhimpun di sekitar Kuil Maha Mariamman.

Anggota berkenaan diserang selepas pasukan bomba dari balai terbabit tiba di lokasi sebaik mendapat maklumat sebuah kereta terletak di luar kuil terbakar.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor berkata, mangsa, Muhammad Adib Mohd Kassim, yang duduk di bahagian penumpang hadapan unit EMRS ditarik keluar oleh kumpulan perusuh sebelum dipukul.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata, isu ini seharusnya dapat diselesaikan lebih awal sekiranya terdapat rundingan awal antara pemaju dan pemilik kuil berkenaan.

“Harus ada rundingan meja bulat dan panggil orang tengah bagi mencari jalan penyelesaian.

(Isu ini) sudah tunggak lama sampai jadi terjadi insiden semalam yang tak sepadan dengan imej rakyat malaysia yang ada sekarang.

“Harap ini jadi pengajaran kepada semua pihal agar berani berdepan masalah cuba selesaikan sebelum terlambat,” katanya lagi. -MalaysiaGazette