Fahmi Fadzil dan Tan Sri Noh Omar.

KUALA LUMPUR – Dewan Rakyat hari ini menyaksikan kedua-dua pihak antara ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang bersatu dalam satu isu.

Kesatuan itu mencermin kedua-dua pihak itu bersatu dalam menghantar usul untuk meminta Speaker Dewan Rakyat, Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof menangguhkan Dewan Rakyat untuk membincangkan isu kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya.

Kedua-dua pihak iaitu daripada Pakatan Harapan (PH) dan pembangkang telah menghantar usul itu mengikut di bawah Perkara 18 (1) iaitu untuk menangguhkan dewan dan usul telah dihantar kepada Speaker Dewan Rakyat.

Beberapa ahli Parlimen PH mengadakan sidang media bersama-sama BN antaranya Fahmi Fadzil (PH-Lembah Pantai), R. Sanisvara Nethaji Rayer (PH-Jelutong), Maria Chin (PH-Petaling Jaya), Charles Santiago (PH-Klang), Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor), P Prabakaran (PH-Batu) dan Datuk Johari Abdul (PH-Sungai Petani).

Sebelah Barisan Nasional (BN), ia diwakili Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjung Karang), Datuk Seri Shahidan Kassim (BN-Arau) dan bebas pula Datuk Mas Ermieyati Samsuddin (Masjid Tanah).

Fahmi yang mewakili ahli Parlimen PH berkata, kedua-dua belah pihak petang ini telah berkumpul dan telah memasukkan satu usul segera di bawah Perkara 18 (1) untuk membahaskan perkara yang dianggap berkepentingan awam dan perkara khusus berkenaan dengan kejadian di sebuah kuil di Seafield.

“Usul ini telah dimasukkan dan telah diterima oleh pejabat yang berhormat speaker dan beliau telah memaklumkan bahawa akan dipertimbangkan untuk dibahas pada hari khamis ini.

“Dan kami telah berkumpul sebagai satu tanda solidariti tanpa kepartian untuk menunjukkan bahwa semua ahli Parlimen menganggap bahwwa perkara ini perlu diberikan penekanan khusus dan perlu kita rungkai secara bersama dalam suasana keharmonian dan perlu kita bergerak ke hadapan,” katanya di lobi Parlimen.

Dalam pada itu, Ramkarpal berkata, semua ahli Parlimen hari ini bersatu dalam isu untuk mententeramkan keadaan.

Malah beliau berkata, tiada lagi pihak yang cuba untuk mengeruhkan keadaan.

“Orang yang menghasut perlu ditangani dengan serius. Mari kita berdebat dengan cara yang bertamadun,” katanya.

Mengulas lanjut, Noh pula berkata, rakyat Malaysia khususnya rakyat Selangor harus bersatu padu dan tidak terus menerus mencetuskan kontroversi dan tidak mencampur adukkan hal-hal politik. -MalaysiaGazette