Tan Sri SA Vigneswaran

KUALA LUMPUR – Tindakan kumpulan yang merusuh di Kuil Maha Mariamman, Subang Jaya tidak boleh menganggap diri mereka sebagai hero kerana perbuatan itu adalah salah.

Demikian menurut Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berhubung tindakan perusuh di kuil berkenaan yang mengakibatkan seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dilaporkan kritikal apabila diserang.

“Jangan kumpul (di kuil dan anggap) nak jadi hero. Buat benda bodoh kepada golongan tidak bersalah dan memperjudikan keselamatan awam.

“Kenapa nak marah-marah (isu pemindahan kuil) dan pecahkan harta benda,” katanya dalam satu sidang media di Parlimen hari ini.

Mengulas lanjut, Speaker Dewan Negara itu turut berkata, serangan terhadap anggota bomba berkenaan tidak boleh diterima malah perbuatan itu boleh mengancam nyawa sesiapa sahaja.

“Pegawai bomba itu nak selamatkan nyawa tapi nyawa dia yang terancam. Perbuatan ini tidak boleh diterima sama sekali, perbuatan ini berlebih-lebihan.

“Selaku Speaker Dewan Negara, saya sangat kesal dengan kejadian anggota awam dipukul, pihak polis perlu ambil tindakan,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, yang merupakan mangsa rusuhan di kuil berkenaan kini berada dalam keadaan tidak sedarkan diri dipercayai mengalami kecederaan patah tulang rusuk serta beberapa kecederaan dalaman.

Adib kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) dan bergantung kepada sistem sokongan hayat.

Terbaharu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Datuk Mohamad Hamdan Wahid berkata anggotanya, Muhammad Adib Mohd Kassim ditarik perusuh ketika pasukannya berundur dari lokasi.

Katanya, dua jentera bomba termasuk van EMRS yang dinaiki Muhammad Adib telah diserang dengan balingan batu dan objek menyebabkan berlaku kerosakan pada cermin dan badan kenderaan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast