Presiden Srikandi Malaysia, Datuk Norasyikin Abdul Ghani.
Presiden Srikandi Malaysia, Datuk Norasyikin Abdul Ghani.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Kebajikan Insaniah Srikandi Malaysia (Srikandi) menggesa kerajaan Selangor mengambil tindakan memecat ahli exconya, V. Ganabatirau yang memfitnah orang Islam menyerang Kuil Seafield Sri Maha Mariamman di USJ25, Subang Jaya, awal pagi kelmarin sehingga mencetuskan rusuhan.

Datuk Norasyikin Abdul Ghani berkata, permohonan maaf Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Kemuning itu tidak dapat diterima kerana kenyataannya menyebabkan seorang anggota bomba kini cedera parah ketika bertugas selepas 24 jam rusuhan pertama berlaku.

“Trend selepas membuat kenyataan minta maaf tidak boleh diterima kerana semakin lama semakin banyak pula kenyataan yang mencetuskan kemarahan orang Melayu Islam di negara ini.

“Sudah tiba masanya kerajaan mengambil tindakan tegas terhadap kenyataan fitnah yang boleh mengganggu gugat keamanan negara.

“Mereka harus bertanggungjawab atas apa yang dinyatakan, ia tidak boleh dikompromi kerana membabitkan nyawa dan keselamatan rakyat negara ini.

“Kegagalan menyelesaikan isu berkenaan dengan baik akan menyebabkan rakyat bertindak sendiri untuk mempertahankan dan melindungi hak mereka,” katanya.

Beliau mengulas isu memuatnaik tuduhan berkenaan oleh Ganabatirau dalam laman Facebooknya.

“Serangan sekumpulan muslim menunjukkan terdapat cubaan untuk mewujudkan ketidakharmonian di kalangan kaum yang hidup aman damai selama ini,” katanya.- MalaysiaGazette

 

http://malaysiagazette.com/blog/2018/11/26/ganabatirau-tukar-kenyataan-orang-islam-kepada-orang-tak-dikenali/