Regu
Ahli Jawatankuasa Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman, VK Regu bercakap pada sidang media berkaitan insiden yang terjadi di Kuil Sri Maha Mariamman Seafield, Subang Jaya, Selangor. foto AFIQ RAZALI, 27 NOVEMBER 2018.

SUBANG JAYA – Badan Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman mendakwa anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang parah dalam insiden rusuhan pagi semalam disebabkan kemalangan jalan raya.

Setiausaha Badan Bertindak kuil itu, V K Regu mendakwa, kejadian dipercayai berlaku apabila jentera JBPM mengundurkan kenderaannya dengan laju sebelum sekumpulan individu menjerit memaklumkan ada individu di belakang jentera berkenaan.

“Tindakan mereka (kumpulan yang berkumpul) mengetuk cermin adalah untuk memberitahu ada orang di belakang, namun jentera bomba berkenaan mengundur dengan laju.

“Dia (Muhammad Adib Mohd Kassim) bukan dipukul, malah kami yang berada di situ membantu mengeluarkannya,” katanya pada sidang media di kuil Sri Maha Mariamman hari ini seperti laporan Berita Harian Online.

Regu berkata, pihaknya mempunyai bukti berhubung kejadian itu, tetapi tidak membuat laporan polis.

“Kami sudah beritahu kepada kementerian (Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan), kami juga baru dapat tahu, setakat ini tidak membuat laporan kerana tidak ada kena mengena dengan pihak kuil.

“Mereka (kumpulan yang berkumpul) menunjukkan teladan yang baik, kami bantu mereka (anggota bomba), tapi kami yang diserang,” dakwanya.

Dalam kejadian awal pagi semalam seorang anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya cedera, manakala jentera dinaiki turut dirosakkan kumpulan perusuh yang berhimpun di sekitar kuil Sri Maha Mariamman, dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu.

Anggota berkenaan diserang selepas pasukan bomba dari balai terbabit tiba di lokasi.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor dilaporkan berkata, mangsa, Muhammad Adib, 24, yang duduk di bahagian penumpang hadapan unit EMRS ditarik keluar oleh kumpulan perusuh sebelum dipukul.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast