Mohamad Hamdan Wahid
Mohamad Hamdan Wahid

KUALA LUMPUR – Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menjelaskan rakaman video yang menunjukkan anggotanya di belakang jentera bomba bukan Muhammad Adib Mohd. Kassim.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid sebaliknya mengesahkan anggota tersebut adalah Mohd. Hazim Mohd. Rahimi iaitu pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya.

Beliau menegaskan netizen jangan membuat kenyataan tidak berasaskan jika tidak berada di tempat kejadian rusuhan di Kuil Maha Mariammam, USJ 25 pagi semalam.

“Ada bukti ke dalam video itu Adib? Yang berdiri itu bukan Adib tapi Hazim. Perkara ini sudah menjadi kes polis dan kami tidak mahu mengganggu siasatan.

“Kami tidak berada dalam kitaran politik dan hanya menjalankan tugas untuk menyelamat orang ramai apabila dipanggil.

“Tak kan anggota sendiri tidak sedar sesama sendiri dalam jentera dan langgar?Jangan buat tuduhan tidak betul kerana ada rakaman video menjadi bukti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Institut Jantung Negara (IJN) di sini sebentar tadi.

Beliau diminta mengulas dakwaan Badan Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman berkata Muhammad Adib yang parah dalam insiden rusuhan itu disebabkan kemalangan jalan raya.

Setiausaha Badan Bertindak kuil itu, V K Regu mendakwa, kejadian dipercayai berlaku apabila jentera JBPM mengundurkan kenderaannya dengan laju sebelum sekumpulan individu menjerit memaklumkan ada individu di belakang jentera berkenaan.

Mohammad Hamdan memberitahu JBPM akan membuat satu laporan polis berhubung dakwaan itu bagi mempertahankan kenyataan sebelum ini bahawa Muhammad Adib cedera akibat dipukul sekumpulan perusuh.

Ditanya rakaman video yang menunjukkan Muhammad Adib cuba diselamatkan oleh perusuh, beliau tidak menafikan ada kelompok yang berhati baik ketika kejadian itu.

“Terdapat lapan anggota ketika kejadian Muhammad Adib diserang dan mereka tahu apa yang berlaku.

“Semuanya dalam siasatan polis dan bukan cara kita langgar sesama anggota ketika operasi,” katanya.

Mengulas laporan mengenai punca kecederaan Muhammad Adib, Mohammad Hamdan berkata, pihaknya menyerah perkara itu kepada doktor pakar di IJN.

“Kesan kecederaan di bawah kuasa doktor pakar di sini dan terdapat kesan lebam tertentu.

“Kita serah kepada mereka yang pakar dan yang penting agar Muhammad Adib dapat distabilkan dulu,” katanya. – MalaysiaGazette

http://malaysiagazette.com/blog/2018/11/28/adib-kemalangan-bukan-dipukul/

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast