Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo bercakap pada sidang media khas di Bilik Mesyuarat Utama, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Putrajaya. foto AFFAN FAUZI, 20 JUN 2018.
Gobind Singh Deo

KUALA LUMPUR – Laporan berita yang dihasilkan oleh syarikat media diingatkan supaya tidak hanya menghasilkan neutral sahaja sebaliknya lebih kepada laporan yang benar terutama berkaitan isu-isu semasa.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo berkata, menjadi kepentingan pihaknya mahu laporan serta penerbitan berita tidak memihak sebaliknya harus memberi gambaran tepat mengenai sesuatu perkara.

Katanya, gambaran-gambaran melalui penghasilan berita perlu memberi imej yang sebenar selain daripada diskusi berkaitan isu-isu semasa kepada rakyat bagi mengetahui kebenaran.

“Saya sedia maklum tentang pegangan saham oleh yang juga dimiliki oleh ahli politik sehingga wujud persepsi laporan berita yang sebelah pihak. Ramai melahirkan kebimbangan tentang pemilikan saham oleh segelintir ahli politik yang mencorakkan nilai sesebuah berita itu.

“Saya terima cadangan melihat kita boleh hadkan pegangan saham oleh ahli politik dalam syarikat media, kita sedang lihat perkara ini. Yang penting kita juga sedang mengkaji perbedaan pegangan saham serta control oleh seseorang itu dalam syarikat media.

“Apa yang menjadi kepentingan dan fokus saya ialah tentang laporan yang dikeluarkan bukan sahaja neutral tetapi ianya patut memberi gambaran sebenar tentang sesuatu isu dengan benar. Ini sangat penting kerana sekiranya kita lihat secara global, rakyat sesuatu negara kini di bina berdasarkan laporan berita yang mereka baca.

“Itu menjadi kepentingan kita, media online atau cetak apa yang mereka baca itu mencorakkan pemikiran mereka secara keseluruhan,” katanya ketika sesi soalan lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Gobind menjawab soalan Ahli Parlimen Cheras, Tan Kok Wai (PH) yang mahu penjelasan bagaimana kebebasan media itu dijamin pada masa sama memastikan media mempunyai kebebasan semak dan imbang dalam pentadbiran kerajaan baharu.

Selain itu, dalam soalan tambahan Kok Wai turut bertanya adakah kerajaan akan menggubal undang-undang baharu bagi menghadkan pegangan saham oleh ahli politik dalam syarikat media sehingga menyebabkan penghasilan laporan berita berat sebelah dan tidak professional.

Tambah Gobind yang juga Ahli Parlimen Puchong, pihaknya dalam proses kajian berhubung isu pemilikan saham parti politik dalam syarikat media dan akan membuat pengumuman tersebut dalam masa terdekat.

Malah jelas beliau, pihaknya juga sedang dalam peringkat untuk menubuhkan Majlis Media Malaysia bagi menangani pelbagai isu berkaitan media khasnya kebebasan media pada masa hadapan. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast