IHH
IHH Healthcare

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Razak sedih apabila Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) melupuskan pegangannya dalam IHH Berhad (IHH) kepada Mitsui.

Bekas Perdana Menteri itu juga kecewa apabila penguasaan 16 peeratus kepentingan Khazanah dalam IHH djual pada harga lebih rendah iaitu RM6 sesaham berbanding RM6.42 harga pada awal tahun ini.

“Ini bermakna Khazanah jual ketika harga saham rendah,” katanya Najib dalam kenyataannya.

Menurutnya, ramai tidak tahu Malaysia semasa di bawah kerajaan BN dahulu memiliki kumpulan hospital kedua terbesar di dunia.

“Ketika saya dilantik Perdana Menteri pada tahun 2009, Khazanah memiliki kumpulan hospital Pantai. Pada masa itu, kumpulan ini hanya bernilai RM5.2 bilion.

“Seterusnya, kumpulan ini terus berkembang termasuk pembelian kumpulan hospital Singapura bernama Parkway, di mana Khazanah menstruktur semula pegangan aset hospital mereka menjadi IHH Berhad pada tahun 2010,” katanya.

Selepas kumpulan ini disenaraikan di Bursa Malaysia pada tahun 2012, nilai IHH Berhad meningkat menjadi RM25.6 bilion dan IPO IHH merupakan ketiga terbesar di dunia untuk tahun itu.

IHH terus berkembang selepas disenaraikan dengan pembelian kumpulan hospital di negara asing.

Tetapi, katanya, hari ini Khazanah di bawah kerajaan Pakatan Harapan telah menjual kepentingan 16 peratus di dalam IHH kepada kumpulan Jepun Mitsui dengan harga RM8.42 bilion bermaksud Mitsui menjadi pemegang saham terbesar.

Nilai IHH pada hari ini dianggarkan bernilai RM50 bilion dan memiliki kumpulan hospital terbesar di Malaysia dengan 14 buah hospital, empat hospital di Singapura, 21 hospital di Turki dan sembilan hospital di India.

Ini antara faktor, aset Khazanah telah naik dari RM33.7 bilion pada akhir 2008 kepada RM115.7 bilion pada akhir tahun 2017.

Malah, kata Najib selama ini, IHH dikenali sebagai kumpulan hospital Malaysia kerana Khazanah merupakan pemegang saham terbesar dan mengawal hala tuju IHH

Kini, kumpulan hospital kedua terbesar di dunia ini tidak lagi milik Malaysia atau menjadi kebanggaan negara kerana telah menjadi kumpulan milik negara Jepun.

Tidak mustahil Pengerusi IHH yang sebelum ini diterajui orang Malaysia akan digantikan dengan orang Jepun tidak lama lagi.

“Negara kehilangan peluang untuk membina dan memiliki sebuah syarikat MNC bertaraf global,” ujarnya.

Najib tidak menolak penjualan aset negara itu antara langkah untuk Khazanah menaikkan dividen kepada kerajaan.

“Sebelum ini, Menteri Kewangan Guan Eng pernah mengumumkan bahawa antara langkah untuk menggantikan kehilangan hasil dari pemansuhan GST, dividen dari Petronas, Khazanah Nasional dan BNM akan dinaikkan.

“Apa lagi aset negara akan dijual?” soal Najib lagi. – MalaysiaGazette

Khazanah lupus 16% kepentingan dalam IHH