Khazanah Nasional
Khazanah Nasional

KUALA LUMPUR – Khazanah Nasional Bhd. (Khazanah) telah memeterai perjanjian dengan Mitsui & Co. Ltd. untuk melupuskan 16 peratus kepentingan dalam IHH Healthcare Bhd.(IHH), membabitkan 1,403,087,400 saham pada harga RM6 sesaham, berjumlah RM8.42 bilion.

Menurut Khazanah, pelupusan kepentingan itu akan mengurangkan pegangan sahamnya dalam syarikat tersebut kepada 26.05 peratus.

“Ia berdasarkan kepada pembesaran modal saham IHH selepas memuktamadkan pemilikan 30 peratus kepentingan ekuiti tambahan dalam Acibadem Saglik Yatirimlari Holding A.S (Acibadem) oleh IHH.,” katanya dalam kenyataan.

IHH mengumumkan pemilikan kepentingan tambahan dalam Acibadem pada 8 Oktobr lalu dan pemilikan tersebut tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa.

Transaksi itu merupakann sebahagian daripada penstrukturan semula portfolio Khazanah dan dana yang dikumpulkan daripada pelupusan itu akan digunakan untuk tujuan modal dan pelaburan baharu.

“Khazanah akan terus menjadi pemegang saham yang signifikan dengan wakil dalam Lembaga Pengarah IHH dan akan menyediakan stabiliti kepada asas pemegang saham IHH pada masa depan,” katanya.

Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd., Datuk Shahril Ridza Ridzuan
Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd., Datuk Shahril Ridza Ridzuan

Sementara itu, Pengarah Urusan Khazanah, Datuk Shahril Ridza Ridzuan berkata, transaksi tersebut jelas menunjukkan keyakinan Mitsui dalam pertumbuhan IHH.

“Khazanah kekal komited menyokong kumpulan ini dan memandang ke hadapan terhadap kejayaan IHH,” katanya.

Khazanah menjangka transaksi itu akan dimuktamadkan pada suku pertama 2019. – MlaaysiaGazette