Ibu Pejabat Polis Bukit Aman

SUBANG JAYA – Polis menasihati orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan berita-berita provokatif yang boleh membangkitkan ketidakpuasan hati serta mengundang tindak balas dari mana-mana pihak yang berasa tercabar dengan kenyataan palsu berkenaan dalam media sosial sejak akhir akhir ini.

Ketua Komunikasi Korporat PDRM merangkap urusetia Ketua Polis Negara, Senior Asisten Komisioner Datuk Asmawati Ahmad berkata, polis mengesan penularan berita-berita palsu dalam pelbagai platform yang memanipulasikan isu pemindahan tapak Kuil Sri Maha Mariamman di USJ25, Seafield, di sini.

Katanya, antara mesej yang dimanipulasi di aplikasi WhatsApp menerusi nota suara dan media sosial mengenai kumpulan gangster yang kononnya melakukan ‘pukulan rambang’ ke atas sesiapa sahaja yang berada di sekitar kawasan tersebut dan menasihatkan orang ramai tidak keluar pada waktu malam.

“Nota suara juga meminta orang Melayu untuk bersiap sedia dengan senjata tajam sebagai persediaan menghadapi perhimpunan pada 8 Disember 2018 yang kononnya akan berlaku pertempuran kaum tiga penjuru.

“Mesej WhatsApp yang mendakwa kononnya pihak Bukit Aman telah mengeluarkan amaran akan berlaku serangan rambang oleh beberapa kumpulan sekitar Subang Jaya,Puchong, Klang dan Jalan Klang Lama selepas jam 9 malam dan perkongsian gambar gambar yang telah dimanipulasi dengan tujuan membentuk persepsi bahawa wujud situasi ketidaktenteraman awam yang tidak terkawal di seluruh negara.

“Berita-berita palsu itu bukan sahaja membangkitkan kegusaran tahap melampau berhubung situasi keselamatan dalam negara, malah mengguris sentimen perkauman dan sensitiviti agama masyarakat majmuk di negara ini,” katanya dalam kenyataan sebentar tadi.

Beliau menasihati orang ramai agar tidak mudah percaya dengan segala berita berbaut provokatif itu.

Katanya polis menjunjung tinggi hak kebebasan bersuara tetapi haruslah diingatkan bahawa hak dan kebebasan tersebut mempunyai batasannya serta tidak boleh disalahgunakan untuk kepentingan tersirat.

“Demi kemaslahatan masyarakat dan negara, janganlah ada mana mana pihak yang bertindak atau membuat sebarang bentuk kenyataan provokatif yang boleh menimbulkan ketegangan dalam kalangan masyarakat.

“PDRM juga memberi jaminan bahawa keadaan keselamatan dan ketenteraman awam akan terus terpelihara dan tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil ke atas mana mana pihak yang terbukti cuba memporak-perandakan kesejahtraan masyarakat, memecahbelahkan perpaduan rakyat dan memperjudikan keamanan negara.

“Polis juga mengulangi kenyataan Perdana Menteri bahawaa insiden rusuhan yang berlaku di tapak kuil berkenaan bukan melibatkan isu perkauman atau berkaitan agama. Ia sebenarnya satu tindakan jenayah yang tidak harus diberi sebarang ruang untuk merosakkan perpaduan dan hubungan kaum di negara ini,” tegas beliau. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast