Calon Barisan Nasional (BN) P.078 Cameron Highlands, Datuk C.Sivarrajh dan Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail bersama penyokong BN selepas dengan rasmi diumumkan sah bertanding di kawasan masing-masing sempena Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) di Pusat Penamaan Calon P.078 Cameron Highlands di Pejabat Daerah dan Tanah Cameron Highlands, Pahang. foto AQIRA AZEMI, 28 APRIL 2018

KUALA LUMPUR – Mahkamah Pilihan Raya di Jalan Duta hari ini mengarahkan satu Pilihan Raya Kecil diadakan di Kerusi Parlimen Cameron Highlands.

Keputusan itu menyusul selepas Hakim Datuk Azizah Nawawi memutuskan kemenangan Datuk C. Sivarraajh bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah terbatal dan tidak sah akibat rasuah.

Mahkamah mendapati terdpat bukti wujudnya amalan rasuah yang dalam pengetahuan dan keizinan ahli Parlimen kawasan itu Datuk C. Sivarraajh.

Sebelum ini Timbalan Pengerusi DAP Pahang, M. Manogaran, 59, memfailkan petisyen pada 4 Jun lalu berhubung kemenangan BN di kawasan itu didorongi rasuah kepada pengundi.

Manogaran dalam petisyen itu memohon mahkamah supaya mengisytiharkan bahawa keputusan Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) pada 9 Mei untuk kerusi Parlimen Cameron Highlands terbatal kerana melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Manogaran mendakwa, Sivarraajh merasuah pengundi daripada komuniti Orang Asli untuk mengundinya.

Menurutnya ,Naib Presiden MIC itu yang berkempen bersama-sama Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail yang kini Menteri Besar Pahang didakwa memberi rasuah dalam bentuk wang iaitu RM30 hingga RM1,000 kepada pengundi Orang Asli melalui beberapa Tok Batin bagi memastikan mereka mengundi calon BN itu yang membabitkan pertandingan lima penjuru.

Sivarraajh memenangi kerusi itu dengan memperolehi 10,307 undi dengan majoriti 597 undi menewaskan pesaing terdekatnya Manogaran dari PKR yang hanya memperolehi 9710 undi. – MalaysiaGazette