Pengusaha, Mohd Zabidi Othman menunjukkan aiskrim kelapa jenama Nyok yang dijual pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan (MAHA 2018) di MAEPS Serdang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 24 NOVEMBER 2018

SERDANG – Gagal dalam perniagaan ais krim lembut pelbagai rasa hingga menyebabkan kerugian RM100,000 pada 2012 sama sekali tidak mematahkan semangat lelaki ini.

Dua tahun selepas itu pemilik francais Aiskrim Kelapa jenama Nyok, Mohd Zabidi Othman,33, bangkit semula apabila kegagalan itu memberinya idea baharu untuk mencuba bisnes aiskrim kelapa yang kini semakin popular selepas mendapat sambutan yang menggalakkan.

Sehingga kini, beliau memiliki tiga francais di Pulau Pinang, satu di Kedah dan bakal membuka cawangan di Shah Alam, pada Januari ini.

“Saya menjual aiskrim yang dihasilkan sendiri ini sudah lama sejak tahun 2012 namun beralih kepada aiskrim berasaskan perisa kelapa yang asli kerana mendapati ia kurang di pasaran.

“Sebenarnya keunikan aiskrim Nyok ini kerana tidak menggunakan bahan pengawet dan kimia, sebaliknya 100 peratus kandungan asli seperti kelapa, krimer dan gula,” katanya.

Beliau ditemui MalaysiaGazette di pameran Pertanian, Hortikultur dan Pelancongan Agro 2018 (MAHA 2018) di MAEPS di sini baru-baru ini.

MGF23112018_MAHA201813
Pengusaha, Mohd Zabidi Othman (kanan) membuat aiskrim kelapa jenama Nyok yang dijual kepada pelanggan pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan (MAHA 2018) di MAEPS Serdang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 24 NOVEMBER 2018

Bermula dua tahun lalu, perniagaan itu dibantu isterinya, Nur Izzati Yusoff, 31, kini semakin maju dan tidak menang ta­ngan untuk meme­nuhi permintaan majlis ter­utama pada musim cuti persekolahan.

Mohd. Zabidi berkata, selain ais krim kelapa, dia juga menghasilkan coconut shake di kilang miliknya di Teluk Air Tawar di Butterworth, Pulau Pinang yang turut menjadi pilihan pelanggan.

“Saya belajar dengan beberapa orang yang mengusahakan ais krim sebelum mencuba resipi sendiri untuk menghasilkan adunan ais krim kelapa yang ada sekarang.

“Saya mula menyewa premis kilang di Teluk Air Tawar sejak awal tahun ini bagi pengeluaran yang lebih besar selepas hanya menjalankan perniagaan ini di rumah sebelum ini,” kata usahawan muda kelahiran Kepala Batas itu.

Bapa kepada tiga cahaya mata itu berkata, dia juga bertuah kerana diberikan peluang untuk mene­rima geran Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di bawah Usahawan Agroprenuer Muda untuk meneruskan perniagaan itu.

MGF23112018_MAHA201812
Pengusaha, Mohd Zabidi Othman membuat aiskrim kelapa jenama Nyok yang dijual kepada pelanggan pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan (MAHA 2018) di MAEPS Serdang, Selangor. foto SYAFIQ AMBAK, 24 NOVEMBER 2018

Menurutnya, FAMA banyak membuka peluang kepada usahawan muda sepertinya untuk memasarkan produk agar lebih dikenali di pasaran terutama melalui aktiviti anjuran mereka.

“Selain membuka tapak niaga di ekspo atau karnival, saya juga se­ring memenuhi tempahan dalam majlis kenduri dan rumah terbuka di seluruh negeri ini,” katanya.

Pada masa sama, Mohd. Zabidi juga mendapat pembiayaan Perbadanan Nasional Berhad (PNS) untuk membuka francais gerai Nyok dan setakat ini memiliki tiga francais di Jawi, Penaga dan Kubang Semang.

“Saya bersyukur mendapat pembia­yaan FAMA serta bim­bingan PNS selain Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) untuk mengembangkan perniagaan pada masa depan.

“Selain tiga francais di Pulau Pinang, saya turut membuka satu outlet di Alor Setar, Kedah yang turut mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan,” katanya.

Ditanya sasaran pada masa depan, Mohd. Zabidi berkata, dalam tempoh tiga tahun pertama, dia mahu menjadi pengeluar ais krim kelapa terunggul di wilayah utara dan memiliki sekurang-kurangnya 15 francais pada tahun depan.

Selain itu, dia juga merancang untuk memperluaskan jenama Nyok ke seluruh negara dalam tempoh lima tahun akan datang bagi meletakkan jenama anak tempatan di pasaran negara.

“Keunikan produk ini adalah pada namanya sendiri iaitu Nyok yang pasti­nya memberi kelainan kepada penggemar ais krim kelapa dan coconut shake untuk menikmati air tangan anak tempatan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast