Pengerusi Barisan Nasional, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bercakap pada sidang media selepas perjumpaan khas bersama Senator Barisan Nasional (BN) di Pejabat Barisan Nasional (BN), Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 02 DISEMBER 2018.

KUALA LUMPUR – Naib Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Nazri Aziz diberi tanggungjawab untuk mengkoordinasikan Ahli-Ahli Dewan Negara (Senator) yang akan bersidang esok.

Menurut Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, kedua pemimpin itu akan memberi motivasi kepada 32 Senator BN sebagai persediaan mereka terlibat dalam sesi perbahasan.

Beliau berkata, dalam pertemuan hari ini, semua Senator berkenaan dideahkan dengan beberapa perkara berkaitan perbahasan Rancangan Malaysia Ke-11, yang mana kajian separuh penggal telah dibentangkan dan ia akan menjadi tajuk perbincangan.

“Mesyuarat pada hari ini ialah untuk mengkoordinasikan persidangan Dewan Negara yang akan bermula esok. Terdapat beberapa perkara utama yang telah kita selaraskan terutamanya dalam perbahasan Rancangan Malaysia ke-11 yang akan menjadi tajuk perbincangan.

“Begitu juga dengan ucapan Belanjawan 2019 yang telah dibentangkan pada 2 November lalu, di samping beberapa akta lain,” katanya pada sidang media selepas perjumpaan khas bersama Senator BN di Pejabat BN di Pusat dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.

Ahmad Zahid berkata, untuk keseluruhan 32 Ahli Dewan Negara itu, kesepakatan telah dibuat bagi acuan yang telah dilakukan di Dewan Rakyat juga diterjemahkan pelaksanaannya untuk Dewan Negara.

Katanya, mereka adalah daripada 67 Ahli Dewan Negara yang dilantik dan dua daripada Senator BN, menyebabkan tinggal 32 orang, telah menyertai parti Pakatan Harapan (PH).

Senator itu ujar beliau, akan menumpukan hal berkaitan isu rakyat sebagai keutamaan dalam perbahasan mereka. – MalaysiaGazette