Dr Ibrahim Ali
Dr Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini mendesak Kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengkaji semula kuota Menteri yang diberikan kepada kaum India bukan daripada parti komponen kerajaan itu.

Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali berkata, langkah itu perlu dilakukan kerana pemimpin India yang diangkat sebagai Menteri Kabinet pada masa ini didakwa telah menjejaskan imej negara di mata dunia.

“Lebih baik Waytha Moorthy ini digugurkan daripada Kabinet dan saya mendesak dikaji kembali kuota kaum hindu dalam Kabinet yang empat orang Menteri dan satu timbalan.

“Boleh lantik (pemimpin India) daripada parti-parti PH, tapi cukuplah jumlah menteri itu malah jauh daripada cukup dengan kedudukan masyarakat India tujuh peratus di Malaysia ini,” katanya ketika ditemui di luar pekarangan Hotel Regency, di sini, hari ini.

Terdahulu Ibrahim berucap di hadapan lebih 100 ahli Perkasa dalam Himpunan Jihad Perkasa sempena Mesyuarat Agung Tahunan badan bukan kerajaan (NGO) itu di Jalan Raja Alang, di sini.

Perhimpunan hampir 30 minit itu mendapat perhatian pihak polis yang turut kelihatan mengawal keadaan agar tidak tercetus suasana tegang dan menjejaskan keharmonian antara kaum di negara ini.

Datuk Dr Ibrahim Ali
Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA), Datuk Ibrahim Ali berucap pada Himpunan Jihad PERKASA di Jalan Raja Alang, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 02 DISEMBER 2018.

Himpunan Jihad Perkasa itu bagi menolak hasrat kerajaan sebelum ini yang disuarakan oleh Waytha Moorthy untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD).

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin turut mengingatkan Perkasa agar perhimpunan itu dilakukan mengikut undang-undang dan mengelakkan ketengangan hubungan antara kaum di negara ini.

Ibrahim juga mendesak kerajaan agar mengekalkan Akta Hasutan 1948 bagi memastikan tindakan biadap seperti pemimpin Hindraf itu tidak berulang dan dilakukan secara berleluasa.

“Kita tengok apabila Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan, banyak pihak berani menggunakan media sosial dengan nama samaran untuk mencaci dan menghina Islam serta Rasulullah.

“Tapi kalau ada ISA semua perkara ini boleh diambil tindakan. Kalau guna nama samaran, polis tidak boleh bertindak menangkap, menahan atau mendakwa mereka di mahkamah sebab di mahkamah mereka perlu bukit yang cukup.

“Kalau ada ISA macam dulu, orang-orang macam ini (Waytha Moorthy) boleh diambil atau disimpan untuk pencegahan tapi instrumen ini sudah tiada. Maka sebab itu Akta Hasutan mesti dikekalkan,” katanya.

MGF02122018_HIMPUNAN JIHAD PERKASA_06
Diantara peserta yang hadir pada Himpunan Jihad PERKASA di Jalan Raja Alang, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI, 02 DISEMBER 2018.

Katanya lagi, Perkasa akan mencabar tindakan kerajaan di mahkamah berhubung usaha memansuhkan Akta Hasutan 1948 yang kini dikenakan tindakan moratorium.

“Saya difahamkan Akta Hasutan ini sudah dikenakan moratarium ataupun digantung. Peguam kita sedang mengkaji dan saya minta mereka menulis surat kepada Ketua Polis Negara dan Peguam Negara bertanya sama ada laporan kami di bawah akta ini sudah diambil tindakan atau sebaliknya.

“Kalau mereka menjawab Akta Hasutan sudah digantung, Perkasa akan mencabar di mahkamah sebab untuk menggantung Akta Hasutan mesti mendapat perkenan Majlis Raja-Raja.

“Bererti kalau Akta ini digantung, tindakan itu tidak sah di sisi undang-undang. Kita akan tengok cabaran baharu di mahkamah. Selepas ini kita akan ke mahkamah dan kita akan mengambil tindakan-tindakan yang wajar,” katanya lagi. – MalaysiaGazette