Wee Ka Siong

KUALA LUMPUR – Kerajaan Pakatan Harapan (PH) didakwa membalas dendam dengan MCA apabila bertindak mengurangkan peruntukan kepada Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR-UC) dan membatalkan dana kepada Koperasi Jayadiri Malaysia Berhad (Kojadi).

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, kerajaan baharu hanya memberikan peruntukan sebnayak RM5.5 juta dana pembangunan untuk TAR-UC berbanding geran berjumlah RM30 juta.

Manakala peruntukan sebanyak RM50 juta yang diumumkan dalam Bajet 2018 untuk Kojadi telah dibatalkan.

Pengesahan daripada Kementerian Kewangan itu telah diterima oleh Kojadi.

Bajet untuk Kojadi itu, katanya, sepatutnya digunakan untuk membantu peniaga perusahaan kecil dan sederhana Cina.

“Kalau ini bukan balas dendam, jadi apakah ia? Kementerian Kewangan tidak mengagihkan dana yang diperuntukan dalam Bajet 2018, yang mana telah diluluskan di Parlimen.

“Apa salahnya kalau MCA berusaha membantu ke arah nilai sejagat.

“Kami hanya mahu membantu peniaga kecil dan sederhana Cina. Adalah ini yang diuar-uarkan oleh PH untuk membangunkan Malaysia atas prinsip keadilan dan kesaksamaan,” kata beliau pada sidang media selepas Perhimpunan Agung Tahunan MCA hari ini.

Ka Siong berkata, Kementerian Kewangan juga tidak memberi peruntukan kepada Kojadi pada tahun depan.

Sebelum ini, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng memberitahu Parlimen supaya MCA ‘memutuskan hubungan’ dengan Universiti Tunku Abdul Rahman dan TAR UC supaya kerajaan boleh menyediakan lebih banyak peruntukan untuk kedua-dua institusi berkenaan.

Ini kerana, kata Guan Eng, pendidikan dan politik tidak boleh dicampuradukkan. – MalaysiaGazette