R. Sivarasa

KUALA LUMPUR – Para pelajar bukan bumiputera diseru segera membuat permohonan kemasukan ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang akan ditutup dua hari lagi.

Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar, R. Sivarasa berkata, sebelum ini kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak memaklumkan secara meluas tentang kuota kemasukan bagi pelajar bukan bumiputera sebanyak 10 peratus itu.

Jelasnya, berikutan maklumat yang tidak begitu jelas, ramai pelajar terutamanya dalam kalangan India dan Cina tidak memohon bagi kuota yang telah disediakan oleh kerajaan.

“Hanya ada dua hari sahaja lagi, tepat pada 4 Disember 11.59 malam permohonan secara talian itu akan di tutup. Saya mohon pelajar lepasan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang mendapat sekurang-kurangnya 3A ke atas untuk segera memohon.

“Rugi sekali jika anda tidak memohon kerana belajar di MRSM bukan sesuatu yang mudah dan sentiasa menjadi angan-angan kerana memiliki status yang sangat tinggi serta terbaik dalam bidang pendidikan.Mutu pelajarannya setaraf dengan antarabangsa.

“Saya sangat hairan mengapa umum tidak berapa mengetahui tentang kuota 10 peratus yang sebenarnya telah diperkenalkan sejak tahun 2002 lagi oleh kerajaan terdahulu, tidak banyak hebahan atau galakan diberikan bagi mengisi kekosongan ini.

“Mungkin sebelum ini tidak ada peluang sebegini, tetapi selepas ini semua ini akan menjadi realiti kepada yang benar-benar cemerlang dan berbakat. Jangan sia-siakan peluang ini,” katanya kepada MalaysiaGazette sebentar tadi.

Sebelum ini, menurut Sivarasa, hanya satu peratus pelajar bukan Bumiputera mengisi kuota 10 peratus yang diperuntukkan kepada golongan itu bagi melanjutkan pelajaran di MRSM di seluruh negara.

Tambah beliau, pihaknya kini sedang dilakukan bagi menarik minat pelajar bukan Bumiputera untuk memenuhi kuota berkenaan.

Pada masa sama, beliau berkata, pada tahun ini, 7,000 kekosongan tempat bakal ditawarkan kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian di 54 MRSM seluruh negara dengan 700 daripadanya dikhaskan kepada pelajar bukan Bumiputera.

“Kita berharap permohonan daripada bukan Bumiputera akan meningkat berbanding tahun sebelumnya kerana kita tidak mahu peluang baik ini dibazirkan,” ujarnya lagi. –MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast