Tabung haji
Orang ramai diminta tidak menyerahkan sebarang deposit kepada mana-mana pihak selagi tidak mendapat surat tawaran.

KUALA LUMPUR – Deposit Lembaga Tabung Haji (TH) didakwa kekurangan RM4 bilion berbanding RM64 bilion aset yang sepatut dimilikinya.

Akhbar Straits Times melaporkan, Tabung Haji masih belum menunjukkan akaun yang diaudit untuk tahun 2017 disebabkan perubahan Lembaga Pengarah dan pengurusan kanan selepas Pilihan Raya Umum ke-14 lalu.

Media itu memetik sumber sebagai berkata memaklumkan jumlah kehilangan deposit Tabung Haji dijangka meningkat.

Malah, pengurusan Tabung Haji didakwa telah memalsukan akaun tahun lalu untuk justifikasi pembayaran dividen sebanyak 6.25 peratus sebelum 9 Mei lalu.

Jumlah itu membabitkan pembayaran sebanyak RM2.7 bilion.

Baru-baru ini, Tabung Haji membuat dua laporan polis berkenaan penyelewengan dana berjumlah RM22 juta dan penjualan 95 peratus pegangan milik anak syarikatnya melibatkan jumlah RM3.8 bilion.

Mereka yang dinamakan dalam laporan tersebut ialah bekas Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim; bekas Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Ismee Ismail; Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Johan Abdullah dan beberapa kakitangan kanan termasuklah Ketua Pegawai Operasi, Datuk Adi Azuan; Ketua Pegawai Kewangan, Datuk Rozaida Omar; Penasihat Undang-undang, Hazlina Mohd. Khalid dan Pengurus Besar Kanan Perkhidmatan Korporat dan Hartanah, Rifina Md. Ariff.

Menurut Tabung Haji, laporan pertama melibatkan program Yayasan Tabung Haji (YTH) pada tahun 2017, yang mana dana melebihi RM22 juta telah digunakan untuk aktiviti berkaitan politik.

Laporan kedua pula melibatkan Ismee, Hazlinda dan Rifina berkaitan penjualan 95 peratus pegangan dalam syarikat PT TH Indo Plantations yang dimiliki oleh dua anak syarikatnya, iaitu TH Indopalms Sdn. Bhd. (THI) dan TH Indo Industries Sdn. Bhd. (THII) kepada PT Borneo Pacific (PT Borneo) untuk RM3.8 bilion (AS$910 juta) pada tahun 2012.

Kesalahan yang didakwa dilakukan dalam laporan kedua berkaitan memberi gambaran yang salah dan menyembunyikan maklumat sebenar tentang penjualan tersebut.

Akhbar yang berpangkalan di Singapura itu berkata, kerajaan Pakatan Harapan mungkin terpaksa mengurangkan pembayaran dividen kepada pendeposit Tabung Haji supaya keuntungan daripada pelbagai portfolio kumpulan itu dapat mengimbangi obligasi kepada pendeposit dan mengurangkan kerugian aset-asetnya.

Tetapi, kata Straits Times, tindakan itu akan menimbulkan kemarahan orang ramai dan menjejaskan populariti Pakatan Harapan yang merudum di bawah 50 peratus sejak ia mengambil alih Putrajaya sejak 10 Mei lalu.

Pilihan lain yang kerajaan Pakatan Harapan ada ialah menstruktur 150 aset harta tanah milik Tabung Haji dan kepentingannya dalam 100 syarikat yang disenarai di Bursa Malaysia meskipun hasilnya mengambil masa bertahun.

“Sekiranya kita hanya merosakkan atau membawa keluar tunai dalam pelaburan teruk, pendeposit akan mula membuat pengeluaran,” kata sumber tersebut. – MalaysiaGazette