Seorang wanita tampil membuat laporan polis selepas sepupunya terlantar di Hospital Tawau, dipercayai akibat ditikam dan dipukul di kawasan antara Lorong Jalan Merdeka 3 dan bank CIMB di Fajar di sini, awal pagi tadi.
Gambar hiasan.

TAWAU – Seorang wanita tampil membuat laporan polis selepas sepupunya terlantar di Hospital Tawau, dipercayai akibat ditikam dan dipukul di kawasan antara Lorong Jalan Merdeka 3 dan bank CIMB di Fajar di sini, awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Fadil Marsus berkata wanita tempatan berusia 39 tahun itu membuat laporan berkenaan selepas ke hospital pada 4.46 pagi untuk melawat sepupu lelakinya berusia 35 tahun yang cedera parah dalam pergaduhan pada 1.30 pagi tadi.

“Mangsa yang dibawa ke hospital oleh orang awam cedera dengan kesan tikaman satu sentimeter di perut kanan serta luka di perut kiri dan bahagian pipi kiri, tetapi pihak hospital tidak dapat menjalankan rawatan ekoran mangsa tiada dokumen pengenalan diri serta waris untuk menandatangani borang rawatan susulan.

“Ekoran itu sepupu mangsa membuat laporan polis selepas dinasihatkan pihak hospital untuk memaklumkan kejadian itu kepada polis, selain adik sepupunya itu dalam proses permohonan kad pengenalan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Fadil berkata pihaknya sedang mengesan saksi awam berhubung kes tersebut.

“Hasil siasatan mendapati berlaku pengaduhan antara mangsa bersama lebih kurang tujuh suspek yang identitinya sedang dikenal pasti.

“Mangsa dipercayai ditikam oleh salah seorang suspek namun motifnya belum diketahui,” katanya bahawa mangsa yang ditikam sempat melarikan diri menghala ke bahagian hadapan bank CIMB itu untuk meminta pertolongan tetapi dikejar dan dipukul oleh kesemua suspek.

Fadil berkata salah seorang suspek dipercayai menggunakan motosikal jenis 125Z berwarna biru dengan nombor pendaftaran ST5262W.

Di samping itu, beliau menafikan dakwaan kononnya mangsa meninggal dunia selepas menerima rawatan di hospital berkenaan.

— BERNAMA